Budak 6 tahun lemas di Pantai Kundor

Budak 6 tahun lemas di Pantai Kundor

Mangsa dilaporkan hilang ketika mandi bersama tiga rakannya sebelum ditemukan lemas pada 6.25 petang semalam.

Bomba berkata, mayat mangsa ditemui kira-kira 30 meter dari lokasi kejadian sebelum disahkan meninggal oleh pasukan perubatan.
MELAKA:
Seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun ditemukan lemas pada 6.25 petang semalam selepas dilaporkan hilang ketika sedang mandi-manda di Pantai Kundor di sini.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Melaka dan Negeri Sembilan, Iskandar Ishak berkata dalam kejadian pada kira-kira 3.30 petang itu, mangsa Mohd Asyraf Fakhrul dilaporkan hilang ketika sedang mandi di pantai tersebut bersama tiga rakannya.

“Mayat kanak-kanak itu ditemukan pasukan penyelam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka tidak jauh dari lokasi kejadian.

“Pihak kami ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat termasuk JBPM, polis, komuniti nelayan dan pengusaha jet ski dalam usaha pencarian,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata pengunjung di pantai peranginan juga dinasihatkan supaya menangguhkan sebarang aktiviti di pantai ketika cuaca buruk bagi mengelak kejadian tidak diingini.

Sementara itu, jurucakap JBPM Melaka dalam satu kenyataan memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 3.43 petang dan seramai 17 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Tangga Batu digerakkan ke lokasi kejadian.

“Mayat mangsa dijumpai unit Pasukan Penyelamat di Air pada jarak kira-kira 30 meter dari pantai, sebelum dibawa naik dan disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan di lokasi kejadian,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.