Amirudin nafi jadi ‘bayang’ Azmin

Amirudin nafi jadi ‘bayang’ Azmin

Calon PH Amirudin Shari turut meluahkan rasa keyakinannya dalam merampas kerusi Parlimen Gombak dari Azmin Ali.

Calon Pakatan Harapan (PH) yang juga menteri besar Selangor, Amirudin Shari, berdepan tugas besar merampas kembali kerusi Gombak yang dimenangi Azmin Ali pada PRU14 dengan majoriti 48,721 undi.
GOMBAK:
Calon Pakatan Harapan (PH) Amirudin Shari menafikan dakwaan masih berada dalam ‘bayang-bayang’ Azmin Ali sambil menegaskan beliau tidak pernah mengikuti jejak bekas timbalan presiden PKR itu.

“Kalau saya jadi ‘shadow’ (bayang-bayang) dia (Azmin), mesti saya ikut sahaja dia ke mana-mana.” katanya selepas menyerahkan borang penamaan calon di Dewan SMK Sungai Pusu.

Amirudin turut menyifatkan langkah yang diambil bekas menteri besar Selangor itu sebagai suatu pemesongan terhadap Pengerusi PH Anwar Ibrahim yang terbukti melahirkan kerajaan tidak stabil.

Beliau turut meluahkan rasa keyakinannya merampas kerusi Parlimen Gombak demi PH dan PKR.

Sementara itu, Azmin yang mewakili PN pula berkata, beliau bersedia mempertahankan kerusi Parlimen Gombak dengan ‘kawan baiknya’, Amirudin.

Mereka berdua merupakan rakan seperjuangan dalam PKR sebelum Azmin meninggalkan parti itu bagi menyertai Bersatu.

Pada 2018, Azmin menang dengan majoriti 48,721 undi. Namun, beliau dipecat PKR pada Februari 2020 kerana mengkhianati parti dan kemudian menyertai Bersatu, pada Ogos tahun sama.

Azmin dan Amirudin akan berdepan saingan lima penjuru dengan Megat Zurkanain Omardin mewakili Barisan Nasional (BN), Naib Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) Aziz Jamaludin Mhd Tahir, serta calon bebas, Zulkifli Ahmad.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.