Wan Fayhsal mohon maaf catatan Twitter lama kritik PAS

Wan Fayhsal mohon maaf catatan Twitter lama kritik PAS

Ketua Pemuda Bersatu berkata, beliau akan terus bersama dengan PN dan PAS untuk memperjuangkan keadilan dan kesaksamaan rakyat Kelantan dan Malaysia menurut tuntutan Islam.

Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, beliau menyesal dengan apa yang berlaku akan lebih berhati-hati pada masa hadapan.
PETALING JAYA:
Ketua Pemuda Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal tampil memohon maaf atas satu catatan lama berkaitan kritikannya terhadap PAS yang dimuatnaik dalam Twitter.

“Saya ingin meminta maaf kepada semua ahli PAS kerana telah menggunakan kata-kata yang kurang sopan.

“Saya amat kesali perkara ini, dan akan lebih berhati-hati di masa hadapan,” katanya di Facebook.

Tambahnya, beliau akan terus bersama dengan Perikatan Nasional (PN) dan PAS untuk memperjuangkan keadilan dan kesaksamaan untuk rakyat Kelantan dan Malaysia, menurut tuntutan Islam.

“PAS sebagai wadah perjuangan Islam dalam PN telah membuktikan komitmen terhadap pemerintahan prihatin, bersih dan stabil di bawah prinsip amal makruf, nahi munkar,” katanya.

Terdahulu, Wan Fayhsal mengumumkan beliau secara rasminya menjadi calon bagi PN di kerusi Machang serta menyaran pengundi supaya memilih logo PAS pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) nanti.

Susulan itu, warganet menghentam Wan Fayhsal menerusi satu ciapan Twitter lama mengatakan ‘Bodoh penyokong PAS’ yang pernah dimuatnaikkan, sungguh pun ciapan itu telah dipadamnya sejak Februari 2019.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.