
Pengerusi sayap itu, R Sivarajah berkata, ahli akar umbi di Segamat kecewa dengan gabungan itu kerana menamakan “calon yang sangat lemah dan tidak popular”, memandangkan pencabarnya daripada parti lain terdiri daripada calon kuat.
Beliau berkata, jika P Poobalan tidak diganti, anggota jentera parti tidak akan turun padang semasa kempen.
“Poobalan tidak setanding dengan nama besar seperti M Ramasamy daripada Barisan Nasional (BN), yang juga bendahari MIC. PKR mencalonkan ahli Majlis Pimpinan Pusatnya, R Yuneswaran, manakala bekas Ahli Parlimen kawasan itu, Edmund Santhara Kumar, mewakili Parti Bangsa Malaysia (PBM).
“Dengan (pencalonan) nama-nama besar ini, Poobalan, yang tidak mempunyai pengalaman dalam politik, mungkin kehilangan depositnya. Beliau juga tidak popular di kawasan itu, malah belum menubuhkan pusat operasi pilihan raya walaupun sudah dinamakan sebagai calon tiga hari lepas,” katanya kepada FMT.
Sivarajah, yang juga mengetuai sayap bersekutu Bersatu Segamat, berkata PN ketinggalan jauh di kawasan itu dari segi mendekati rakyat, berbanding BN dan Pakatan Harapan (PH) yang jenteranya sudah pun berjalan.
Katanya, parti itu perlu mempertimbangkan untuk meminta pengerusi sayap bersekutu kebangsaan, Chong Fat Full, untuk bertanding di Segamat jika PN berharap untuk memenangi kerusi itu.
Kira-kira 49% daripada jumlah pengundi di Segamat berbangsa Melayu, dengan 41% terdiri daripada pengundi Cina dan 10% pengundi India.
Santhara menang pada 2018 atas tiket PKR menentang ketua MIC ketika itu, Dr S Subramaniam, dengan majoriti 5,476 undi. Selepas kerajaan persekutuan PH tumbang, beliau berpindah ke Bersatu dan dilantik sebagai ketua sayap bersekutunya.
Santhara meninggalkan Bersatu bulan lepas untuk menyertai PBM.