
BALING: Hujan lebat berterusan sejak petang tadi menyebabkan Kampung Iboi, sekali lagi dilanda banjir, kejadian keempat sejak kali pertama bencana itu berlaku Julai lalu.
Menurut Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kedah, 10 rumah di kampung itu terjejas akibat banjir dan sehingga 8 malam tadi, sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka.
Jurucakap APM Kedah, Saifuddin Abdullah, berkata seramai 15 keluarga dipindahkan ke PPS dan jumlah itu dijangka meningkat.
“Katanya, hujan lebat berterusan menyebabkan air sungai melimpah ke tebing di Kampung Iboi,” katanya.
Kampung Iboi yang terletak di Mukim Kupang kali pertama dilanda banjir besar pada Julai lalu.
Bencana itu menyebabkan tiga penduduk maut, beberapa rumah runtuh dan kerugian dianggarkan berjumlah RM28 juta.