
Bekas menteri kesihatan itu berkata, ini bukan disebabkan transformasi dalam BN tetapi kucar-kacir dalam pembangkang.
Beliau memberitahu FMT, perpecahan undi Melayu di kalangan BN, Perikatan Nasional (PN) dan Gerakan Tanah Air (GTA) berkemungkinan besar menjejaskan Pakatan Harapan (PH).
Katanya, PH akan kehilangan banyak undi yang diperolehnya pada pilihan raya umum 2018, khususnya di kawasan bandar dan luar bandar.
“Jumlah besar kerusi yang akan dimenangi oleh gabungan Sabah dan Sarawak dijangka memberi manfaat kepada BN selepas pilihan raya kerana BN pasti akan mempunyai bilangan kerusi terbanyak di semenanjung walaupun ini tidak cukup untuk mendapat majoriti mudah,” katanya.
“Selepas apa yang berlaku sejak empat tahun lalu, gabungan Sabah dan Sarawak berkemungkinan bersikap pragmatik dengan melemparkan sokongan mereka kepada parti yang menerajui kerajaan persekutuan. Gabungan Parti Sarawak telah menunjukkan perkara ini selepas kerajaan PH tumbang.”
Bagaimanapun, katanya, jika PH memenangi bilangan kerusi yang lebih tinggi secara tidak dijangka, GPS dan Gagasan Rakyat Sabah mungkin mempertimbangkan untuk bekerjasama dengannya untuk membentuk kerajaan pusat yang stabil.
Subramaniam yang tewas di Segamat pada PRU14 berkata, beliau menjangkakan prestasi MIC akan lebih baik kali ini.
Beliau juga berkata, pembangkang akan terus menguasai kawasan bandar dan namun kawasan pinggir dan luar bandar yang akan menentukan siapa boleh membentuk kerajaan.
Jelasnya lagi, BN akan kekal dengan keputusan terbaik walaupun memperoleh jumlah undi sama seperti sebelum ni berikutan terlalu banyak parti Melayu bertanding di kawasan tersebut.
Subramaniam berkata, BN sepatutnya boleh merampas kembali kerusi majoriti Melayu itu.
“BN sepatutnya boleh merampas kembali kerusi Segamat.
“Ironinya, anda mempunyai tiga calon India yang bersaing untuk kerusi majoriti Melayu di kawasan di mana kaum India membentuk bilangan pengundi terkecil,” katanya.
“Berdasarkan trend semasa, saya menjangkakan BN akan mendapat sebahagian besar undi Melayu dan ia sepatutnya telah melepasi sasaran ditambah pula peratusan undi Cina dan India.”
Kira-kira 49% pengundi adalah Melayu dengan pengundi Cina membentuk 41% dan India 10%.