
Jurucakap mereka berkata, ini disebabkan pengundi bandar telah meningkat secara signifikan berbanding di luar bandar.
Pengerusi Bersih, Thomas Fann, berkata persempadanan berat sebelah dan salah pembahagian merupakan sebab utama pilihan raya Malaysia tidak boleh dianggap adil.
Katanya, kawasan undian bandar lebih berkemungkinan mengalami persempadanan berat sebelah berbanding di luar bandar.
“Contohnya, P102 Bangi mempunyai sekitar 300,000 pengundi, manakala P207 Igan pula kurang daripada 30,000,” katanya kepada FMT.
Dalam kertas kerja diterbitkan Institut ISEAS-Yusof Ishak Singapura pada Jun, penganalisis politik James Chai berkata, pelaksanaan Undi18 dan daftar pengundi automatik memburukkan salah pembahagian memandangkan pengundi muda yang baharu kebanyakannya di kawasan bandar.
Pegawai pusat kajian Merdeka Center, Ted Lee, berkata daftar undi automatik meningkatkan ketidakseimbangan antara kawasan bandar dan luar bandar.
Katanya, salah pembahagian memberi calon bertanding di kawasan luar bandar satu kelebihan, kerana tidak memerlukan undian yang banyak untuk menang.
“Ini memberi ruang kepada ahli politik menggunakan nilai satu orang, satu undi, seterusnya memaksimumkan nilai penyokong mereka dan pada masa sama meminimumkan pengaruh penyokong lawan.”
Lee berkata, satu-satunya cara mengatasi perkara itu adalah menerusi persempadanan semula, namun beliau mengakui itu tidak mungkin dapat dilakukan sebelum 19 Nov.
Perlembagaan Persekutuan menyatakan persempadanan semula pilihan raya boleh dilakukan setiap lapan tahun. Kali terakhir ia dilakukan untuk Semenanjung dan Sabah adalah pada 2018, manakala di Sarawak pula pada 2015.
“Ini bererti persempadanan semula tidak boleh dilakukan sehingga selepas 2026 untuk Semenanjung dan Sabah, manakala di Sarawak pula selepas 2023,” katanya.
“Kesimpulannya, tiada apa yang boleh dilakukan untuk mengubah sempadan sehingga waktu itu.”