
“Mereka cemas kerana `overthinking’ selepas apa mereka lakukan. Bimbang kesan yang akan timbul terhadap mereka.
“Mereka fikir BN macam mereka agaknya, sejurus menang PRU14 dan jadi kerajaan terus menggugurkan kes-kes mahkamah melibatkan pemimpin mereka.” katanya di Facebook.
Salinan didakwa akujanji yang tular itu antara lain menyatakan calon Umno bersetuju menyokong Zahid sebagai calon perdana menteri BN.
Dokumen bocor itu mengandungi tandatangan calon BN Lenggong, Shamsul Anuar Nasarah, Zahid dan Setiausaha Agung Umno, Ahmad Maslan.
Semalam, seorang pembantu Zahid menafikan dakwaan itu dengan berkata dokumen terbabit palsu.
Zahid sebelum ini menyifatkan dakwaan beliau meminta calon Umno menyokongnya untuk jawatan tertinggi negara itu sebagai “pembohongan”.
Hari ini, Zahid menggesa lawannya menamatkan “politik menipu dan merapu”.
“Dulu mungkin mudah untuk mereka membohongi dan memperdaya rakyat dengan taktik sebegini. Hari ini, rakyat Malaysia adalah masyarakat yang rasional dan mudah memahami antara kebenaran dan kebatilan.
“Tidak sukar mereka ‘membaca’ pembohongan itu. Fitnah terbaharu lawan BN ini menjadi bukti jelas lagi kukuh mengapa rakyat perlu menolak mereka dan pastikan mereka ini tidak menang, apatah lagi menjadi kerajaan semula.”
Beliau turut mengingatkan rakyat supaya tidak membenarkan Malaysia ditadbir kerajaan yang ditubuhkan atas dasar fitnah dan penipuan bagi mengelakkan rakyat dibohongi sekali lagi.