MIC untung, kata PSM selepas PH tak sokong Jeyakumar

MIC untung, kata PSM selepas PH tak sokong Jeyakumar

Timbalan Pengerusi PSM S Arutchelvan berkata pemimpin akar umbi MIC di Sungai Siput 'gembira' Dr Michael Jeyakumar Devaraj tidak bertanding atas tiket PH.

Pengerusi PSM Dr Michael Jeyakumar Devaraj mempunyai rekod terbaik sebagai Ahli Parlimen Sungai Siput, kata timbalannya. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Keputusan Pakatan Harapan (PH) tidak menyokong Pengerusi Parti Sosialis Malaysia Dr Michael Jeyakumar Devaraj bertanding di Parlimen Sungai Siput akan menguntungkan MIC, kata Timbalan Pengerusi PSM S Arutchelvan.

Arutchelvan berkata, pemimpin akar umbi MIC di Sungai Siput “agak gembira” bahawa Jeyakumar tidak akan bertanding bawah logo PH kerana “mereka tahu tidak ada apa-apa untuk menyerangnya”.

“Mereka (pemimpin akar umbi) akan terus memberitahu ahli mereka bahawa Jeyakumar adalah Ahli Parlimen yang baik, bukan S Kesavan (bekas Ahli Parlimen PKR Sungai Siput),” katanya kepada FMT.

“Pemimpin akar umbi MIC juga telah ‘melobi’ kami, di belakang tabir, untuk tidak bertanding di Sungai Siput kerana mereka tahu, lebih sukar untuk merampas kerusi itu kerana Jeyakumar terkenal dengan imej bersihnya.”

Arutchelvan juga menyatakan, Presiden MIC SA Vigneswaran berkata semasa perhimpunan agung parti baru-baru ini, Jeyakumar banyak berjasa kepada penduduk Sungai Siput berbanding Kesavan.

Semalam, Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli mempertahankan keputusan PH untuk tidak membentuk pakatan pilihan raya dengan PSM di kerusi Sungai Siput, dengan alasan kawasan itu dimenangi bawah logo PKR pada PRU lalu.

“Mungkin ada yang tidak gembira dan kata mengapa tidak beri peluang? Itu bukan sebabnya. Isunya siapa yang ada jentera dan rekod…sebab kita hendak menang dan agenda utama untuk mengalahkan Barisan Nasional dan Perikatan Nasional,” katanya pada sidang media.

Rafizi merujuk kekalahan PSM dalam PRU14 apabila ia bertanding di kerusi itu bawah logonya sendiri.

Arutchelvan berkata, Rafizi sepatutnya menumpukan serangannya kepada MIC dan Barisan Nasional, bukannya kepada PSM.

“Ini kerana serangan berterusan beliau terhadap PSM hanya akan membuatkan lebih ramai orang dan penyokong akar umbi PSM menjauhi PH,” katanya.

Beliau mempertahankan rekod prestasi Jeyakumar sebagai Ahli Parlimen, termasuk memperkenalkan beberapa rang undang-undang persendirian mengenai isu berkaitan golongan miskin, dan kualiti soalannya yang ditanya semasa perbahasan Parlimen.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.