
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Mohamad Fakhruddin Abdul Hamid berkata, wanita berusia 44 tahun itu cedera di bahagian muka dan badan.
Beliau berkata, semasa kejadian, lelaki berusia 19 tahun itu dikatakan mengunci pintu depan dan membaling barang perhiasan rumah ke arah mangsa.
“Suspek yang mempunyai satu rekod jenayah lampau itu turut bertindak menumbuk mangsa di bahagian muka dan memijak dada sebelah kiri.
“Bertindak atas laporan ibunya pada Isnin lepas, polis menahan remaja itu pada 7.30 malam dan kini direman sehingga 5 Nov ini bagi membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi malam ini.
Menurutnya, suspek yang didapati negatif dadah disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan menggunakan senjata atau objek berbahaya.
Beliau turut mengesahkan itu bukan kejadian pertama dan sedang menyiasat sama ada suspek mempunyai masalah mental atau sebaliknya.