BN Tenggara dan Kota Tinggi desak kekalkan Adham, Halimah

BN Tenggara dan Kota Tinggi desak kekalkan Adham, Halimah

Akan berlaku “malapetaka besar” sekiranya Adham tidak dicalonkan manakala Halimah pula mempunyai kepimpinan yang terbukti.

BN Tenggara dan Kota Tinggi desak kepimpinan parti kekalkan Adham Baba dan Halimah Mohamed Sadique sebagai calon PRU15.
PETALING JAYA:
BN Tenggara dan Umno Kota Tinggi masing-masing mendesak kepimpinan parti mengekalkan penyandang, Adham Baba dan Halimah Mohamed Sadique.

BN Tenggara berkata akan berlaku “malapetaka besar” sekiranya Adham tidak dicalonkan manakala Umno Kota Tinggi percaya Halimah mempunyai kepimpinan yang terbukti, lapor beberapa akhbar tempatan hari ini.

Timbalan Pengarah BN Tenggara Nasaruddin Ahmad berkata gabungan itu akan berdepan cabaran mempertahankan kerusi tersebut sekiranya calon lain diletakkan bagi menggantikan penyandangnya, lapor Awani

“Kami di pihak BN Tenggara sebulat suara untuk hanya bawa satu nama (Adham) dan kami mengharapkan pihak pucuk pimpinan BN dan Umno untuk melihat perkara ini.

“Kami bawa suara di Tenggara dan ini bukan atas dasar untuk lobi tak tentu pasal kerana beliau memang selayaknya untuk jadi wakil rakyat di Tenggara,” kata Nasaruddin.

Sementara itu, Sinar Harian melaporkan, 40 cawangan Umno di Kota Tinggi menggesa pucuk pimpinan parti mengekalkan Halimah yang juga penyandang.

Ketua Cawangan Umno Tanjung Sedili, Hashim Muhammad menjelaskan 40 ketua cawangan terbabit turut bertindak mengumpulkan tandatangan dan menghantar surat bagi menggesa pucuk pimpinan parti tersebut untuk mengekalkan Halimah sebagai calon BN.

“Surat telah dihantar kepada Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dan Pengerusi Umno dan BN Johor, Hasni Mohammad.

“Kami harap pucuk pimpinan dengar suara akar umbi dalam pemilihan calon Ahli Parlimen Kota Tinggi dengan mengekalkan Datuk Halimah,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.