
Menurut blog itu, sebuah syarikat dikaitkan dengan dua pengasas Undi18 – Nur Qyira Izzati Yusri dan Tharmelinggem Pillai – ada kaitan dengan dua individu daripada dua parti komponen BN.
“Kedua-dua setiausaha ini mempunyai kaitan politik,” menurut blog itu.
FMT tidak menamakan dua individu itu dan syarikat mereka sementara menunggu maklum balas.
Undi18 dalam kenyataan berkata, setiausaha syarikat biasanya mengendalikan ratusan, bahkan beribu pelanggan.
“Setiausaha syarikat kami disyorkan oleh juruaudit syarikat kami. Ini perkara biasa apabila menubuhkan perniagaan di Malaysia.
“Kami berpangkalan di satu ruang pejabat kongsi. Banyak syarikat, dahulu dan semasa, menggunakannya dan sudah menggunakan ruang itu,” menurut kumpulan berkenaan.
Blog itu turut mempersoalkan dari mana sumbangan yang diberikan kepada Sekretariat Solidariti Rakyat (SSR) pada Ogos 2021.
Undi18 bagaimanapun berkata, pendanaan awam untuk SSR dikongsi beberapa kali dengan organisasi gabungan, termasuk pengesanan resit.
“Terdapat pemilikan kolektif dana oleh organisasi anggota.
“Buat masa ini, dana digunakan untuk membiayai saman terhadap polis atas salah laku terhadap penunjuk perasaan SSR. Perakaunan akan didedahkan kepada umum sebaik saja saman itu selesai,” kata Undi18.
Kumpulan itu berkata, ia mempunyai rekod prestasi baik bekerja dengan orang ramai dan ahli politik merentas parti, tidak kira kerajaan atau pembangkang.
“Kami juga secara konsisten mengkritik, bahkan memprotes pelbagai parti dan gabungan politik. Kami akan terus berbuat demikian dalam advokasi dan kempen kami.”
Mengenai dakwaan individu yang berkempen untuk Undi18 bahawa ia tidak membuat caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi mereka, kumpulan itu bertegas ia mematuhi undang-undang buruh, khasnya dalam soal pembayaran berkanun sedemikian.
“Semua pekerja sepenuh masa kami menerima caruman bulanan KWSP mereka. Kami juga pernah mengambil pekerja sambilan, kontraktor projek, pelatih bergaji dan vendor untuk komitmen jangka pendek tertentu.”