Pearly-Thinaah lakar sejarah juarai Terbuka Perancis

Pearly-Thinaah lakar sejarah juarai Terbuka Perancis

Pasangan itu mencipta sejarah menjadi beregu wanita pertama negara menjuarai Terbuka Perancis selepas menewaskan pasangan dari Jepun.

Pearly Tan dan M Thinaah menjadi beregu wanita pertama memenangi kejohanan Terbuka Perancis selepas bekerja keras menewaskan pasangan nombor dua dunia dari Jepun. (Gambar BAM)
KUALA LUMPUR:
Beregu wanita utama negara, Pearly Tan-M. Thinaah mencipta sejarah dalam menamatkan kemarau kejuaraan selepas mengungguli kejohanan badminton Terbuka Perancis yang berlangsung di Stade Pierre de Coubertine di Paris, malam ini.

Kejayaan menumbangkan pilihan keempat yang juga juara dunia dua kali, Mayu Matsumoto-Wakana Nagahara dari Jepun 21-19, 18-21, 21-15 di pentas final itu, menyaksikan Pearly-Thinaah menjadi beregu wanita Malaysia pertama merangkul gelaran Terbuka Perancis.

Kemenangan itu ialah gelaran kedua dan kejayaan terbesar pasangan nombor 11 dunia itu dalam siri Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF) selepas menjuarai Terbuka Switzerland, Mac tahun lepas.

Aksi yang berlanjutan hingga 72 minit itu ialah pertemuan pertama kedua-dua pasangan.

Pada set pertama, Pearly-Thinaah yang bermula perlahan berjaya bangkit dengan menampilkan aksi berkeyakinan untuk terus mendahului perlawanan hingga 18-10, namun berdepan detik cemas apabila dikejar 20-19 sebelum berjaya meraih mata kemenangan.

Momentum positif itu gagal diteruskan dalam set kedua meskipun mereka berusaha gigih menandingi kehebatan Matsumoto-Nagahara yang lebih “ghairah” dan cemerlang memenangi setiap mata, sekali gus mengheret perlawanan ke set penentuan.

Selepas tunduk di set kedua, Pearly-Thinaah bermula perlahan di set ketiga apabila ketinggalan 2-6, namun bangkit tampil lebih cekap, bermotivasi serta kurang melakukan kesilapan untuk mendominasi perlawanan bermula di kedudukan 8-7 sehingga menoktahkan kemenangan dengan kelebihan enam mata.

Sebelum ini, bekas beregu wanita negara, Wong Pei Tty-Chin Eei Hui muncul naib juara Terbuka Perancis pada 2008.

Terbuka Perancis ialah kejohanan acara Jelajah Dunia Super 750 BWF, kejohanan tahap tiga yang menawarkan hadiah bernilai USD49,950 (kira-kira RM235,000) bagi pemenang acara beregu dan USD23,625 (kira-kira RM111,000) bagi finalis, selain mata ranking BWF.

Dalam pada itu, pemain nombor satu dunia, Viktor Axelsen dari Denmark muncul juara perseorangan lelaki selepas mengatasi rakan senegara, Rasmus Gemke 21-14, 21-15.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.