
Punithan Genasan, 39, didakwa bersubahat dengan dua lelaki, warga Malaysia, V Shanmugam Veloo dan lelaki tempatan Mohd Suief Ismail mengedar heroin tulen atau dikenali sebagai diamorphine.
Punithan didakwa memperkenalkan Shanmugam dengan Suief di tempat letak kereta McDonald’s West Coast pada 12 Okt 2011 untuk memudahkan transaksi penjualan dadah, menurut laporan Straits Times.
Dalam penghakimannya, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan iaitu Ketua Hakim Negara Sundaresh Menon bersama hakim Andrew Phang dan Tay Yong Kwang, memutuskan wujud keraguan munasabah sama ada pertemuan itu benar-benar berlaku pada hari kejadian.
“Memandangkan ini adalah kaitan yang perlu dibuktikan pendakwaan untuk mengekalkan tuduhan terhadap perayu, disebabkan niat bersama untuk mengedar dadah berpunca daripada pertemuan berkenaan, kami mendapati tuduhan gagal dibuktikan tanpa keraguan munasabah seterusnya membebaskan perayu,” kata Tay membacakan penghakiman itu.
Katanya, wujud percanggahan bukti berkaitan tarikh dan waktu pertemuan yang dikatakan berlaku itu, termasuk hari-hari serta tempoh waktu Shanmugam serta Punithan direkodkan berada di negara itu pada Oktober 2011.
Shanmugan dikatakan masuk ke Singapura 16 hari selepas pertemuan berkenaan untuk berjumpa dengan Suief, dengan membawa bersamanya 10 peket bahan serbuk yang kemudian didapati adalah sekurang-kurangnya 28.5g diamorphine.
Dua lelaki itu ditahan dan kemudian disabitkan atas kesalahan pada 2015. Shanmugam yang ketika itu berusia 30 tahun dihukum penjara seumur hidup dan 15 sebatan, manakala Suief yang ketika itu 46 tahun dihukum gantung sampai mati.
Ketika siasatan dilakukan, Shanmugam mengenal pasti Punithan sebagai dalang transaksi dadah yang berlaku pada 28 Oktober 2011 itu.
Punithan kemudian ditahan di Malaysia sebelum diserahkan kepada pihak berkuasa Singapura pada 21 Jan 2016. Pada akhir perbicaraannya dia didapati bersalah memainkan peranan dalam pengedaran dadah dan dihukum gantung sampai mati, namun memfailkan rayuan.
Sementara itu, Tay berkata keputusan terhadap Punithan hari ini tidak memberi kesan terhadap hukuman Shanmugam dan Sueif kerana kedua-duanya ditemui dengan dadah dalam milikan mereka, malah dalam proses mengedarnya.