
Timbalan Presiden Gerakan, Oh Tong Keong mendakwa strategi penggantian calon oleh DAP setiap penggal, khasnya di Parlimen Bukit Bendera, demi mengelak tanggungjawab dan keangkuhan pengundi tempatan.
“Kita tidak mahu kawasan kita digunakan oleh DAP sebagai ‘tempat latihan Ahli Parlimen untuk satu penggal’.
“Apa yang kita mahu ialah wakil rakyat yang berkhidmat dengan bersungguh-sungguh dan membawa pembangunan lestari ke kawasan pilihan raya,” katanya dalam kenyataan.
Pengerusi Gerakan Pulau Pinang itu berkata, berdasarkan senarai calon pilihan raya umum ke-15 yang diumumkan Pakatan Harapan (PH) di peringkat negeri sejak beberapa hari lalu, ramai penyandang dicalonkan di kerusi lain.
“Daripada Liew Chin Tong pada 2008 kepada Zairil pada 2013 dan Wong Hon Wai pada 2018, sehinggalah kepada pengumuman terkini bahawa PRU tahun ini akan ditandingi Syerleena Rashid.
“Ini menunjukkan DAP langsung tidak menghormati pengundi Bukit Bendera dan menganggap kawasan itu sebagai aset parti untuk menjalankan latihan.”
Katanya, pengundi tiada peluang sama sekali untuk menilai khidmat dan prestasi Ahli Parlimen itu.
Beliau memberi contoh Parlimen Bentong, di mana penyandangnya Wong Tack digantikan hanya selepas satu penggal sehingga menyebabkan beliau terpaksa bertanding sebagai calon bebas untuk terus berkhidmat di kawasan itu.
Justeru, beliau menyeru pengundi menolak parti politik yang mengemukakan calon berbeza setiap penggal.