3 kereta mewah dianggar bernilai RM940,000 dicuri dari bengkel

3 kereta mewah dianggar bernilai RM940,000 dicuri dari bengkel

Sebuah Nissan Skyline GTR Prestige, sebuah Mercedes Benz E200K dan sebuah Toyota Land Cruiser milik pelanggan yang telah siap dibaiki didapati hilang pada kira-kira 10.39 pagi.

Menurut polis, suspek dipercayai masuk ke dalam bengkel dengan memecahkan mangga pintu utama sebelum melarikan 3 buah kereta pelanggan. (Gambar Freepik)
KUALA LUMPUR:
Tiga kenderaan mewah dianggarkan bernilai kira-kira RM940,000 dilarikan daripada sebuah bengkel di Jalan Damansara, Kampung Bukit Lanjan, di sini semalam.

Ketua Polis Brickfields Amihizam Abdul Shukor berkata, kejadian itu dilaporkan oleh seorang pengadu selepas mendapati terdapat kesan pecah pada mangga kunci (ibu kunci) di pintu masuk dan beberapa kereta didapati hilang kira-kira 10.39 pagi.

Beliau berkata, suspek dipercayai masuk ke dalam bengkel dengan memecahkan mangga pintu utama sebelum melarikan sebuah Nissan Skyline GTR Prestige, sebuah Mercedes Benz E200K, dan sebuah Toyota Land Cruiser.

“Semua kenderaan itu adalah milik pelanggan yang telah siap dibaiki dan belum dituntut oleh pelanggan bengkel. Siasatan sedang dijalankan bagi mengetahui berapa ramai suspek yang terlibat,” katanya semalam.

Katanya, polis sedang meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan kes disiasat bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan/395A Kanun Keseksaan.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes ini diminta menghubungi Hotline Polis Brickfields di talian 03- 2297 9222, Hotline Polis Kuala Lumpur 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berdekatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.