Letak calon Umno untuk gempur PH di Batu, gesa ketua bahagian

Letak calon Umno untuk gempur PH di Batu, gesa ketua bahagian

Umno bahagian meminta kepimpinan tertinggi BN pertimbang agar menyerahkan Parlimen Batu kepada parti itu, selepas dikhabarkan kerusi itu mahu "dirisik" parti dalam oleh Friends of BN.

Pada PRU14, Parlimen Batu ditandingi Gerakan, salah satu komponen BN namun meninggalkan gabungan itu selepas tumbang dalam pilihan raya.
KUALA LUMPUR:
Umno Bahagian Batu meminta kepimpinan tertinggi Barisan Nasional (BN) mempertimbangkan agar menyerahkan Parlimen Batu kepada parti itu selepas dikhabarkan kerusi milik Gerakan itu mahu “dirisik” oleh Friends of BN, Kongres India Muslim Malaysia (Kimma) pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Perkara itu disuarakan Ketua Bahagian Umno Batu, Yahaya Mat Ghani selepas mengadakan perjumpaan dengan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, 11.30 pagi tadi.

“Kita berjumpa dan menyatakan keluhan bahawa sebelum ini kita dikhabarkan Parlimen Batu akan diserahkan kepada Kimma (Friends of BN) tetapi sebenarnya ianya (masih) dalam proses.

“Presiden (Zahid) minta kita bersabar dalam sedikit masa lagi dan masih ada masa,” katanya pada sidang media di Menara Dato Onn.

Jelasnya, Zahid juga memaklumkan akan mengadakan kajian di lapangan bagi melihat sokongan parti komponen kepada Umno di kawasan berkenaan sebelum senarai akhir calon dimuktamadkan.

“Presiden minta kita bersabar dan teruskan gerak kerja jentera supaya bergerak seperti biasa dan terus santuni pengundi di Parlimen Batu dan dalam sedikit masa lagi dia akan buat keputusan.

“Saya beritahu kepada presiden keputusan biarlah menggembirakan ahli Umno di bahagian Batu,” katanya.

Umno dijangka mengumumkan calonnya pada 2 Nov, tiga hari sebelum hari penamaan calon PRU15.

Parlimen Batu kali terakhir menjadi milik BN pada 2004 namun jatuh ke tangan PKR pada 2008 selepas wakilnya, Tian Chua mengalahkan calon BN dari Gerakan, Lim Si Pin dengan majoriti 9,455 undi.

Sejak itu, Parlimen Batu merupakan kubu kuat PKR yang dipegang Tian Chua selama dua penggal, sebelum jatuh ke tangan calon Bebas P Prabakaran pada PRU14 2018 dengan majoriti yang tinggi, apabila Tian Chua tidak layak bertanding ketika itu. Prabakaran kemudian menyertai PKR susulan kemenangan berkenaan dan diumumkan sebagai calon PKR bagi kerusi berkenaan pada PRU15.

Mengulas lanjut, Yahaya berkata, selama ini jentera Umno bekerja keras untuk memastikan kemenangan rakan komponen BN – Gerakan – di Parlimen Batu namun parti itu bertindak mengkhianati gabungan itu dengan menyertai Perikatan Nasional selepas parti dipimpin Najib ketika itu tumbang pada PRU14.

“Selama ini Umno bekerja untuk rakan BN iaitu Gerakan dan mereka sudah tidak ada bersama kita, inilah peluang terbaik kepada Umno untuk kita meletakkan calon kita dan kita yakin boleh menang dengan kecelaruan yang ada di pihak PH,” katanya.

Tegasnya, pergolakan antara kem Prabakaran dan Tian Chua dijangka memberi kelebihan kepada BN untuk merampas kembali “kerusi panas” itu.

“Pengumuman calon yang dibuat oleh PKR (pada Jumaat) di mana Prabakaran diangkat untuk mempertahankan kerusi Batu dan ketepikan Tian Chua, menimbulkan rasa tidak puas hati pengundi di sana.

“Sudah tentu saya yakin kumpulan Tian Chua akan rasa tidak senang, malah ada juga kumpulan mereka (Tian Chua) jumpa kita dan menyatakan sokongan kepada BN (pada PRU15),” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.