
Azmil Tayeb dari Universiti Sains Malaysia (USM) berkata, perselisihan itu boleh menjejaskan kredibiliti DAP manakala Azmi Hassan Hassan dari Akademi Nusantara berkata, ia akan memberi kesan buruk kepada pengundi.
Mereka mengulas laporan bekas Ahli Parlimen Klang Charles Santiago dan bekas Ahli Parlimen Bentong Wong Tack yang mempertikaikan kepimpinan parti mengenai rundingan untuk menggugurkan mereka sebagai calon PRU15.
“Jika meletakkan muka baharu sebagai calon adalah alasan, maka ia harus dilakukan secara menyeluruh, bukan secara terpilih. Ia satu gambaran buruk kepada kepimpinan parti,” kata Azmil.
Bagaimanapun, beliau memberitahu FMT tidak mungkin keputusan parti itu akan mewujudkan kem dalam DAP kerana parti itu bijak memastikan ahli tidak ingkar.
Azmil berkata, PRU15 mungkin menyaksikan beberapa penyokong Santiago dan Wong Tack membantah sama ada mengundi parti lain atau undi rosak.
“Tetapi secara keseluruhan, saya fikir pengundi akan menyokong pengganti mereka kerana tiada alternatif dalam sistem dua parti ini,” katanya.
Rabu lalu, bekas Ahli Parlimen Puchong Gobind Singh Deo berkata, Santiago bertemu dengannya pada 2013 dan 2018 untuk mendapatkan sokongan bagi mempertahankan kerusi Parlimen Klang.
Bagaimanapun, Santiago mendakwa naratif itu dibuat Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook dan Ketua DAP Selangor Gobind Singh Deo untuk mengendalikan kritikan berhubung keputusan menggugurkannya sebagai calon bagi pilihan raya umum akan datang.
Wong Tack pula berkata, DAP Pahang pada 16 Okt lalu memutuskan untuk menyingkirkannya daripada Bentong. Dakwanya, dia juga tidak akan bertanding di mana-mana kerusi di Pahang.
Aktivis yang menyertai dunia politik itu berkata, beliau kemudiannya ditawarkan kerusi Cameron Highlands berikutan tindak balas akar umbi dan ahli parti di Bentong.
Azmi berkata, perbalahan itu tidak akan menjejaskan kredibiliti pemimpin parti sebaliknya akan memberi kesan kepada pengundi.
“Wong Tack dan Santiago mengatakan mereka tidak dimaklumkan tentang digugurkan (sebagai calon) menyebabkan mereka tidak berpuas hati. Apabila mereka tidak berpuas hati, pengikut mereka akan merasakan perkara yang sama dan ini akan menjejaskan Pakatan Harapan dan DAP,” katanya.
Beliau berkata ketidakpuasan hati bekas Ahli Parlimen itu juga akan menjejaskan jentera kempen DAP dan PH.
Azmi berkata, peruntukan kerusi bukanlah sesuatu yang mudah terutama apabila melibatkan gabungan pelbagai parti, lebih-lebih lagi parti dan gabungan itu menggunakan strategi baharu dalam menghadapi PRU15.
“Mereka menukar calon atau meletakkan di kawasan berbeza bergantung kepada keperluan mereka,” katanya.