
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata daripada jumlah itu seramai 975,618 orang adalah pengundi lelaki manakala pengundi wanita 967,456 orang (49.79%).
Katanya, seramai 825,791 orang adalah pengundi berumur 21 hingga 39 tahun manakala pengundi 18 tahun hingga 20 tahun adalah 129,034 orang.
“Daftar keseluruhan juga menunjukkan majoriti pemilih berusia bawah 60 tahun iaitu seramai 1,539,645 manakala 355,413 pemilih berusia 60 tahun ke atas,” katanya dalam satu kenyataan.
Katanya, seramai 38,148 petugas akan bertugas untuk PRU15 melibatkan 1,943 pusat mengundi termasuk 55 pusat mengundi awal dengan 4,286 jumlah saluran.
“Sebanyak 1,943 pusat pengundi telah diwartakan membabitkan sekolah, rumah panjang dan beberapa premis lain yang dikenal pasti. Daripada jumlah itu, 74 pusat pengundi yang terletak di kawasan pedalaman, tidak mempunyai akses telekomunikasi,” katanya.
Beliau berkata, bagi mengatasi kekurangan di 74 pusat mengundi itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bekerjasama dengan syarikat pembekal perkhidmatan telekomunikasi serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) untuk memastikan semua pusat mengundi mendapat liputan perhubungan.
Dalam pada itu, katanya, mengenai kesiapsiagaan SPR Sarawak berdepan kemungkinan banjir, agensi itu telah bersedia sepenuhnya melibatkan logistik udara, air dan darat.
“Malah, sekiranya berlaku banjir ketika pilihan raya berlangsung, SPR Sarawak juga sudah merancang pelbagai kaedah bagi melancarkan perjalanan proses demokrasi dengan kerjasama bersama semua agensi keselamatan,” katanya.