Jurulatih Indonesia mohon maaf rujuk beregu Malaysia ‘hitam dan putih’

Jurulatih Indonesia mohon maaf rujuk beregu Malaysia ‘hitam dan putih’

Eng Hian berkata, beliau tiada niat menyinggung perasaan beregu wanita Malaysia, Pearly Tan dan M Thinaah.

Eng Hian didengar merujuk Pearly Tan dan M Thinaah sebagai ‘putih’ dan ‘hitam’ ketika memberi arahan kepada beregu wanita Indonesia di Terbuka Perancis. (Gambar AFP)
PETALING JAYA:
Jurulatih badminton Indonesia, Eng Hian memohon maaf kepada beregu wanita negara, Pearly Tan dan M Thinaah kerana merujuk mereka sebagai “hitam dan putih” ketika memberi arahan kepada pemainnya di kejohanan Terbuka Perancis.

Dalam video permohonan maaf yang dimuat naik ke Twitter, Eng Hian yang bercakap dalam bahasa Indonesia berkata, beliau tiada niat untuk menyinggung perasaan dua pemain itu.

“Dengan penuh rendah hati, saya memohon maaf kepada Pearly Tan dan M Thinaah. Saya tiada niat sama sekali untuk menyinggung perasaan pemain Malaysia.

“Sekali lagi, saya memohon maaf atas kata-kata itu,” kata jurulatih berusia 45 tahun itu dalam video yang dimuat naik ke akaun Twitter “Rubber Game Indonesia” malam tadi.

Khamis lalu, satu rakaman video menunjukkan Eng Hian merujuk Pearly dan Thinaah sebagai “putih” dan “hitam”, ketika dia memberi arahan kepada beregu wanita Indonesia, Febriana Dwipuji Kusuma dan Amalia Cahaya Pratiwi semasa waktu rehat.

Kenyataan itu tular di media sosial, selepas dirakam televisyen pada pusingan 16 Terbuka Perancis.

Semalam, Pearly dan Thinaah mara ke separuh akhir Terbuka Perancis, selepas menewaskan pasangan nombor tiga dunia dari Jepun, Nami Matsuyama-Chiharu Shida, 15-21, 21-14, 21-14 di Stade Pierre de Coubertin, Paris.

Beregu negara itu akan bertemu pasangan dari Korea Selatan, Baek Ha Na-Lee So Hee hari ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.