Adam Adli akui berdepan cabaran besar di Hang Tuah Jaya

Adam Adli akui berdepan cabaran besar di Hang Tuah Jaya

Ketua Pemuda PKR, Adam Adli Abdul Halim mengakui timbul keresahan dalam kalangan akar umbi PKR, tetapi beliau yakin akan diterima pengundi di Parlimen Hang Tuan Jaya.

Ketua Angkatan Muda Keadilan, Adam Adli Abdul Halim berkata, sebagai muka baharu beliau akan berdepan cabaran besar di kerusi yang dahulunya kubu kuat BN.
MELAKA:
Ketua Pemuda PKR, Adam Adli Abdul Halim optimis diterima pengundi Parlimen Hang Tuah Jaya pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Beliau yang mengakui memang timbul keresahan dalam kalangan akar umbi PKR bahagian selepas namanya diumumkan sebagai calon menggantikan penyandang, Shamsul Iskandar Md Akin, yakin perkara itu akan diterima penyokong parti itu.

“Ia adalah perkara biasa dan memang sudah dibincangkan di peringkat dalaman parti. Siapa yang hendak dijadikan calon, itu memang sentiasa dibincangkan, dan semua orang ada pendapat serta pandangan masing-masing,” katanya selepas program Jelajah Hang Tuah Jaya di Pasar Bukit Baru di sini.

Semalam, Adam diumumkan bertanding di Parlimen berkenaan menggantikan Shamsul yang ditugaskan Pakatan Harapan untuk mencabar Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi di Parlimen Bagan Datuk.

Selaku calon muka baharu, Adam turut mengakui bertanding di Parlimen Hang Tuah Jaya bukan sesuatu yang mudah memandangkan ia pernah menjadi kubu kuat Barisan Nasional.

“Saya tahu kawasan dan sejarah bahagian ini macam mana, tapi ia satu permulaan yang baik untuk saya yang kali pertama menyertai pilihan raya dan bertanding di Parlimen ini,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.