
Dalam kenyataan, beliau menuduh Saifuddin bercakap “bohong secara terang-terangan”, sambil menambah bahawa bukan tugasnya sebagai menteri perpaduan negara ketika itu untuk merundingkan ratifikasi ICERD dengan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).
“Tugas meratifikasi perjanjian antarabangsa jelas dalam skop kerja menteri luar negeri, menteri undang-undang, dan Jabatan Peguam Negara (AGC).
“Isu mengenai ICERD tercetus kerana Saifuddin menyelitkan komitmen Malaysia dalam ucapan yang (perdana menteri ketika itu) Dr Mahathir Mohamad sampaikan pada perhimpunan agung PBB.
“Ia adalah fakta yang diketahui secara meluas bahawa (Saifuddin) melakukan itu sendiri sebagai sebahagian daripada manifesto Pakatan Harapan (PH) untuk meratifikasi semua konvensyen PBB yang masih ada,” kata Waytha.
Presiden Malaysian Advancement Party (MAP) itu memberitahu Saifuddin, yang merupakan menteri luar dalam Kabinet Mahathir, supaya “matang” dan menerima bahawa beliau bertanggungjawab dalam isu berkenaan.
Semalam, Malaysiakini memetik Saifuddin sebagai berkata Waytha adalah menteri yang mengendalikan cubaan Malaysia yang gagal untuk meratifikasi ICERD.
Menteri luar itu berkata, apa yang beliau ingat, tidak ada kertas Kabinet dibentangkan untuk ratifikasi ICERD selain tidak faham mengapa beliau diserang berhubung isu berkenaan.
Saifuddin mendakwa, satu-satunya perjanjian antarabangsa yang beliau terlibat ialah Perlindungan Semua Orang Daripada Kehilangan Yang Dipaksa (ICPPED) dan Konvensyen Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Menentang Penyeksaan.
Sabtu lalu, Presiden PAS Abdul Hadi Awang mendakwa beliau adalah penggerak utama di sebalik Langkah Sheraton pada 2020 untuk memendekkan pemerintahan PH, selepas partinya merasakan gabungan pemerintah sedang bergerak untuk menghapuskan hak istimewa orang Melayu.
Ahli Parlimen Marang itu berkata, ia susulan protes besar-besaran di Kuala Lumpur terhadap percubaan PH untuk meratifikasi ICERD.
Susulan kenyataan Hadi, Presiden PKR Anwar Ibrahim dan veteran DAP Lim Kit Siang menuduh Hadi lupa mengenai peranan Saifuddin dalam perkara itu.
Saifuddin kini dalam Bersatu dan ketua Perikatan Nasional (PN) Pahang.