Remaja dihanyut arus deras ditemui lemas

Remaja dihanyut arus deras ditemui lemas

Dalam kejadian Selasa lalu, Muhammad Alif Fahmi Abdullah, 16, dihanyutkan arus deras ketika cuba menyeberangi sungai.

Mayat mangsa berjaya ditemui kira-kira 10 kilometer dari lokasi dia dihanyutkan dalam kejadian di Sungai Gong, Rawang. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Remaja lelaki yang dihanyutkan arus deras ketika menyeberangi sungai selepas memancing bersama bapa dan adik tirinya di Sungai Gong, Rawang, ditemukan lemas petang semalam.

Mayat Muhammad Alif Fahmi Abdullah, 16, ditemui di perangkap sampah Fruit Valley di Bestari Jaya, pada 2.30 petang, kira-kira 10 kilometer dari tempat dia dihanyutkan.

Kejadian berlaku pada Selasa lalu apabila ketiga-tiga mereka dihanyutkan arus sungai, namun beberapa rakan pemancing berjaya menyelamat bapa serta adik tiri mangsa.

Menurut Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Norazam Khamis, mayat berjaya ditemui selepas pihaknya memperluaskan pencarian ke kawasan perangkap sampah pertama dari lokasi menerusi tambahan bot dari Balai Bomba Penyelamat (BBP) Kota Anggerik.

“Bomba menggunakan kaedah pencarian di permukaan, dan operasi pencarian diteruskan sehingga ke hari ini dengan penambahan 15 anggota, iaitu melibatkan enam dari Pasukan Penyelamat di Air, tujuh anggota polis dan dua dari Unit Dron Penyelamat Bencana Malaysia.

“Mayat remaja itu ditemui di kawasan perangkap sampah berhampiran Fruit Valley menerusi pencarian oleh BBP Bestari Jaya, dengan dibantu Unit K9, dan operasi pencarian telah dihentikan pada 3 petang,” katanya menurut laporan Bernama.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak, Zainal Mohamed Mohamed ketika dihubungi berkata mayat telah dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.