Peraturan tambahan mendarat helikopter jadi ‘penghalang’, kata juruterbang

Peraturan tambahan mendarat helikopter jadi ‘penghalang’, kata juruterbang

Peraturan yang dikuatkuasakan selepas kejadian ‘nasi ganja’ di Ipoh tahun lalu, memerlukan penyerahan laporan keselamatan dan izin pemilik tanah.

Juruterbang berkata, penerbangan kecemasan dan misi bantuan mungkin terjejas jika CAAM tidak memperjelaskan peraturan ditetapkan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Pengendali penerbangan kecemasan, bantuan dan penyelamat helikopter yang kini dalam keadaan berjaga-jaga bagi menghadapi musim banjir menyifatkan peraturan tambahan dikeluarkan Pihak Berkuasa Penerbangan Malaysia (CAAM) untuk mendapatkan kelulusan pendaratan sebagai satu halangan besar.

Menurut mereka, Arahan Penerbangan Awam 2001 yang diperkenalkan pada 15 Oktober tahun lalu menjadi penghalang besar kerana memerlukan dua kelulusan daripada CAAM yang tidak praktikal malah memakan masa.

Seorang pemilik helikopter yang enggan dinamakan berkata, dua syarat meliputi memberikan laporan keselamatan di lokasi pendaratan, dan mendapatkan kelulusan pemilik premis sebelum berlepas.

“Klausa ini akan ‘membunuh’ industri itu,” katanya.

Katanya, arahan itu yang menyatakan pengecualian dibenarkan hanya ketika kecemasan, merujuk kepada masalah pesawat dan bukannya yang berlaku akibat bencana alam.

“Penerbangan helikopter kini menjadi begitu terkawal sehingga ‘membunuh’ golongan penggemar dan mereka yang bersedia melakukan kerja berkaitan tanggungjawab sosial korporat, khususnya ketika kecemasan.

“Ketika banjir sejak beberapa tahun lalu, kami sekadar mendarat di kawasan atau jalan yang tidak dinaiki air untuk mengagihkan bantuan,” katanya kepada FMT.

Menurutnya, juruterbang helikopter dilatih untuk mengelilingi kawasan yang dipilih untuk pendaratan bagi melakukan penilaian risiko terlebih dulu, malah sebelum ini boleh mendarat di pekarangan sekolah. Namun ini tidak lagi dibenarkan.

“Guru besar enggan memberikan izin kerana memerlukan tempoh berminggu-minggu atau berbulan-bulan untuk mendapatkan kelulusan jabatan pendidikan atau kementerian. Mereka mahu mengelak proses yang melecehkan itu,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi juruterbang berkata peraturan berkenaan diperkenalkan tiga bulan selepas “kejadian nasi ganja” iaitu apabila sebuah helikopter mendarat di padang di Ipoh ketika perintah kawalan pergerakan Covid-19 pada Julai tahun lalu, untuk membawa makanan popular itu pulang ke Kuala Lumpur.

Kejadian itu mendapat kecaman umum, seterusnya juruterbang terlibat didakwa, walaupun telah diberi izin untuk mendarat di padang berkenaan oleh pihak berkuasa lalu lintas udara.

Juruterbang yang mengeluh pelaksanaan syarat baharu oleh CAAM itu berkata, helikopter bukan saja digunakan untuk latihan pendaratan kecemasan, malah juga bagi tujuan rekreasi. Mereka berkata, mereka dilatih untuk membuat penilaian keselamatan sendiri di lokasi dipilih untuk pendaratan.

“Bayangkan kertas kerja yang kini diperlukan sebelum dapat berlepas untuk memberikan bantuan? Adakah mereka mahu kami menggunakan laluan darat ke kawasan terlibat, melakukan penilaian risiko seterusnya mendapatkan izin bertulis pemilik tanah?”

Selain itu, juruterbang juga perlu membuat persediaan bagi memastikan kawasan berkenaan selamat, bererti seseorang perlu dilantik untuk memantau pendaratan helikopter terlibat.

“Pengendali kecil-kecilan yang akan paling terkesan teruk. CAAM perlu menemui pemegang taruh dan menilai semula syarat berkenaan,” katanya.

FMT telah menghubungi CAAM untuk mengulas perkara itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.