
Jurucakap dan timbalan ketua polis pelancong, Apichart Suriboonya berkata, lelaki berusia 46 tahun itu sebenarnya melarikan diri dari polis selepas ditangkap kerana menghisap `baraku’ di bahu jalan di Sadao pada 19 Okt lalu.
Menghisap `baraku’ atau dikenali sebagai `hookah’ atau `shisha’ adalah dilarang di Thailand dan lelaki itu ditangkap selepas polis menerima aduan.
“Pegawai polis pelancong dan imigresen mengarahkan lelaki itu pergi ke Pusat Perkhidmatan Pelancong untuk siasatan lanjut.
“Bagaimanapun, lelaki itu enggan bekerjasama dan enggan menunjukkan dokumen perjalanannya kepada pegawai.
“Selepas berbincang lelaki itu akhirnya bersetuju untuk menaiki trak pikap polis dan pergi ke Pusat Perkhidmatan Pelancong,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, ketika dalam perjalanan lelaki itu terjun dari kenderaan itu dan terus melarikan diri. Dua hari kemudian dia dikesan keluar negara itu.
Lelaki itu kemudiannya masuk semula ke Thailand pada 24 Okt dan membuat laporan polis kononnya dia diculik.
Sebaik sahaja polis mengetahui lelaki itu kembali ke Thailand, polis pelancong Songkhla menyerahkan semua bukti kepada pegawai penyiasat di balai polis Sadao supaya tindakan terhadap lelaki itu boleh diambil.