Langkah pilih ahli 2 minggu jadi calon ‘mengejutkan’, kata pemimpin PKR

Langkah pilih ahli 2 minggu jadi calon ‘mengejutkan’, kata pemimpin PKR

Ginie Lim bimbang pemilihan calon yang baru menyertai parti seperti Dr Noraishah Mydin Abdul Aziz mungkin tidak serasi dengan pemimpin akar umbi.

Anwar Ibrahim memperkenalkan Dr Noraishah Mydin Abdul Aziz sebagai calon PKR bagi PRU15 pada Rabu.
PETALING JAYA:
Seorang ketua bahagian PKR mempersoalkan keputusan partinya meletakkan ahli yang baharu menyertai parti dua minggu lalu sebagai calon pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Bekas ADUN Machap Jaya Ginie Lim berkata, pencalonan Dr Noraishah Mydin Abdul Aziz untuk PRU pada 19 Nov ini adalah “mengejutkan”.

Noraishah, yang menghidap Spina Bifida, adalah salah seorang daripada tujuh calon diumumkan Presiden PKR Anwar Ibrahim pada Rabu. Parti itu tidak mendedahkan kerusi mana yang akan ditandinginya.

Beliau antara individu yang memohon untuk menyertai PKR selepas parti itu membuka pencalonan kepada rakyat Malaysia dari semua lapisan masyarakat.

Lim berkata, sebelum ini, syarat yang ditetapkan untuk bakal calon pilihan raya ialah mereka mestilah menjadi ahli sekurang-kurangnya setahun.

“Sudah tentu, wujud situasi tertentu di mana seorang ahli profesional atau individu terkemuka (dicalonkan), tetapi masih penting (bagi calon) untuk mempunyai hubungan dengan akar umbi,” katanya kepada FMT.

Beliau menyuarakan kebimbangan mengenai pemilihan calon yang baharu menyertai parti, seperti Noraishah, dan ia mungkin tidak diterima baik pemimpin akar umbi.

“Ini mungkin menimbulkan rasa tidak senang dalam kalangan pemimpin tempatan di kawasan tertentu,” katanya.

“Sebaik-baiknya calon mesti bekerja dengan akar umbi untuk tempoh tertentu supaya mereka tahu sentimen di lapangan sebelum bertanding,” katanya.

Seorang lagi pemimpin PKR yang enggan dinamakan berkata, proses pemilihan baharu boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan ahli akar umbi berhubung kriteria pemilihan calon.

Pemimpin itu mendakwa, sistem baharu dalam PKR, yang membolehkan sesiapa sahaja memohon untuk menjadi calon, tidak dibincangkan secara panjang lebar dalam parti.

Sementara itu, Naib Ketua PKR Bandar Tun Razak Jonathan Vela berkata, beliau percaya pemimpin parti mempunyai alasan kukuh untuk sistem baharu itu.

“Mereka pasti tahu akan ada rasa tidak senang dalam kalangan segelintir ahli tetapi mesti ada sebab (mereka berbuat demikian),” katanya sambil menambah, bagus untuk parti mempunyai muka baharu.

Beliau berkata, ini bukan masa untuk mengadu dan fokus harus diberikan kepada menghadapi pilihan raya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.