50,000 unit tambahan PerantiSiswa beri peluang kepada lebih pelajar, kata menteri

50,000 unit tambahan PerantiSiswa beri peluang kepada lebih pelajar, kata menteri

Langkah menambah bilangan peranti itu bertujuan membuka peluang rayuan seluas-luasnya kepada pelajar yang layak namun ditolak, kata Annuar Musa.

Annuar Musa menasihatkan pelajar yang tidak berjaya mendapatkan PerantiSiswa berjumpa dengan persatuan pelajar atau pusat pengajian mereka bagi mengemukakan rayuan. (Gambar Bernama)
KOTA BHARU:
50,000 unit peranti telah ditambah bawah Program PerantiSiswa Keluarga Malaysia bagi memberikan peluang kepada pelajar yang membuat rayuan untuk mendapatkannya, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Annuar Musa.

Beliau berkata, langkah itu bertujuan membuka peluang rayuan seluas-luasnya kepada pelajar yang layak namun ditolak, selain memastikan bekalan peranti tidak terputus.

“Kita ada peranti yang cukup, tiga hari lepas saya telah arahkan KSU (Ketua Setiausaha) kementerian untuk menambah tempahan daripada tender yang ada melalui VO untuk tambahan 50,000 unit lagi dengan perbelanjaan lebih kurang RM65 juta supaya bekalan tidak terputus, mengambil kira kes-kes rayuan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Program KPT Prihatin dan Majlis Penyerahan PerantiSiswa Keluarga Malaysia di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Kota, Pengkalan Chepa, di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Pengajian Tinggi Noraini Ahmad.

Mengulas mengenai kes rayuan PerantiSiswa, Annuar menasihatkan pemohon berjumpa dengan persatuan pelajar atau pusat pengajian mereka bagi mengemukakan rayuan dengan memberi bukti atau sebab rayuan perlu dipertimbangkan.

“Kita buka seluas-luas peluang rayuan asalkan mereka layak, ataupun ada kes-kes tertentu yang kita boleh beri pertimbangan, kita akan bagi.

“Konsepnya kita nak bagi kepada seberapa ramai pelajar yang layak,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.