
Beliau mendakwa, sebahagian besar perbelanjaan media baharu itu ditaja oleh kalangan yang menguasai ekonomi dari dalam dan luar negara.
“Perkara ini menunjukkan suatu bentuk ‘penjajahan’ baharu terhadap tanah air kita,” katanya di Facebook.
Hadi berkata, PAS menolak untuk menjalinkan kerjasama dengan PH kerana ramai dalam kalangan parti itu yang tidak beriman dan bermoral, mengumpulkan kumpulan pemberi dan penerima rasuah.
“Islam menegaskan bahawa pemberi rasuah itu lebih besar dosa dan laknatnya daripada penerima rasuah, walaupun kedua-dua pihak dilaknat dengan keras.
“Namun, pemberi rasuah masih diselamatkan daripada tindakan undang-undang, khususnya ketika PH memerintah dalam jangka masa yang pendek,” katanya.
Katanya, sudah tiba masanya semua pihak berpadu tenaga membanteras amalan rasuah agar tidak terus merebak, dan seterusnya menjadi “pandemik yang merosakkan generasi anak cucu kita”.
Ogos lalu, Hadi mendakwa golongan bukan Islam dan bukan Bumiputera dikatakan kumpulan majoriti menjadi perosak politik dan ekonomi negara.
“Sehinggakan, dalam kalangan mereka itulah yang menguasai ekonomi negara lalu menggunakannya bagi merosakkan politik, urusan pentadbiran dan kehakiman,” katanya.