Mahkamah tolak permohonan semakan Najib terhadap Jabatan Penjara

Mahkamah tolak permohonan semakan Najib terhadap Jabatan Penjara

Pada 5 Okt, Najib memfailkan permohonan untuk memulakan prosiding semakan kehakiman terhadap kerajaan kerana tidak membenarkannya menghadiri sidang Dewan Rakyat .

Hakim Ahmad Kamal Md Shahid berkata ‘tidak ada lagi persidangan Parlimen’ untuk dihadiri Najib.
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Tinggi menolak usaha bekas perdana menteri Najib Razak untuk memulakan cabaran undang-undang terhadap keputusan Jabatan Penjara yang enggan membenarkannya menghadiri sidang Dewan Rakyat.

“Tidak ada lagi sidang Parlimen untuk dihadiri (Najib),” kata Hakim Ahmad Kamal Md Shahid.

“Adalah jelas bahawa dengan pembubaran Parlimen, penggal itu telah berakhir. Pemohon (Najib) bukan lagi Ahli Parlimen.”

Pada 5 Okt, Najib memfailkan permohonan untuk memulakan prosiding semakan kehakiman terhadap kerajaan kerana tidak membenarkannya menghadiri sidang Dewan Rakyat yang dijadualkan antara 3 Okt dan 29 Nov.

Bagaimanapun, tiada lagi persidangan Dewan Rakyat selepas 10 Okt selepas Parlimen dibubarkan pada tarikh itu.

Najib mahu mahkamah mengetepikan keputusan Jabatan Penjara bulan lalu yang enggan membenarkannya menghadiri sidang Dewan Rakyat atas alasan keselamatan.

Najib juga sedang berusaha untuk membatalkan keputusan Jabatan Penjara yang enggan memberi akses kepada pegawainya bagi tujuan kerja Parlimen, perundangan dan kawasan pilihan raya.

Kamal berkata beliau telah mengambil maklum bahawa pembubaran Dewan Rakyat telah diwartakan dan pilihan raya umum (PRU) akan diadakan pada 19 Nov apabila Ahli Parlimen baharu akan dipilih.

“Tidak ada kemungkinan dia (Najib) menjadi Ahli Parlimen semula. Dia kini seorang banduan dan undang-undang melarang orang yang disabitkan bertanding melainkan dan sehingga pengampunan (diraja) diberikan untuk membatalkan sabitannya (dalam kes rasuah SRC International),” katanya.

Mahkamah tidak membuat sebarang perintah mengenai kos.

Peguam Najib, Shafee Abdullah, berkata mereka akan merayu keputusan itu dan notis rayuan akan difailkan lewat hari ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.