Khaled nafi senarai tular calon BN Johor

Khaled nafi senarai tular calon BN Johor

Berdasarkan senarai tersebut, BN dilihat mengekalkan beberapa nama pemimpin di negeri itu, termasuk Khaled Nordin sendiri.

Khaled Nordin mengesahkan bahawa senarai nama calon BN Johor yang tular baru-baru ini tidak benar.
PETALING JAYA:
Naib Presiden Umno Khaled Nordin menafikan Barisan Nasional (BN) Johor mengeluarkan senarai calon bagi pilihan raya umum ke-15 (PRU15) seperti yang tular di media sosial.

Ketika ditanya sama ada senarai itu sahih atau sebaliknya, beliau memberikan jawapan ringkas: “Tak (betul).”

Berdasarkan senarai itu, BN dilihat mengekalkan beberapa nama pemimpin di negeri itu untuk membantu BN mengekalkan kerusi yang dimenangi parti komponen sebelum ini.

Antara nama yang tersenarai termasuk Khaled sendiri; Ketua Wanita Umno Noraini Ahmad, Presiden MCA Wee Ka Siong, Bendahari BN Hishammuddin Hussein, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Adham Baba, dan penyandang kerusi Parlimen Pengerang Azalina Othman Said.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan, yang juga penyandang kerusi Parlimen Pontian, dilihat tidak tersenarai.

Setiausaha Kerja Umno Sumali Reduan dilihat menggantikannya untuk Parlimen Pontian.

Sementara itu, bekas Ahli Parlimen Muar, Razali Ibrahim yang kalah pada PRU14 kepada Syed Saddiq Abdul Rahman diletakkan di Parlimen Pagoh menentang Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin.

Menurut senarai itu, Khaled dicalonkan di kerusi Parlimen Kota Tinggi.

Bekas menteri besar Johor Hasni Mohammad pula diletakkan di Parlimen Simpang Renggam menentang penyandangnya, Maszlee Malik, daripada PKR.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.