Keputusan esok sama ada Syed Saddiq bebas atau bela diri

Keputusan esok sama ada Syed Saddiq bebas atau bela diri

Pesuruhjaya Kehakiman Azhar Abdul Hamid dijadualkan membacakan keputusan di akhir kes pendakwaan pada 9.30 pagi.

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berdepan empat tuduhan membabitkan subahat pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram.
KUALA LUMPUR:
Keputusan sama ada penyandang kerusi Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dipanggil untuk membela diri atau dibebaskan atas empat tuduhan bersubahat pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram akan diketahui esok.

Pesuruhjaya Kehakiman Azhar Abdul Hamid dijadualkan membacakan keputusan di akhir kes pendakwaan pada 9.30 pagi di Mahkamah Tinggi di sini.

Jika keputusan mahkamah memihak kepada pihak pendakwaan, yang berpendapat wujud kes prima facie terhadap Syed Saddiq, 29, maka beliau akan dipanggil membela diri,

Jika sebaliknya, presiden Muda itu akan dilepas dan dibebaskan.

Pada 27 Sept lepas, pihak pendakwaan menutup kesnya selepas memanggil 30 saksi untuk memberi keterangan pada perbicaraan yang bermula 21 Jun, manakala pihak pendakwaan serta pembelaan selesai berhujah pada 6 Okt.

Antara saksi-saksi pendakwaan yang dipanggil termasuk ibu bapa Syed Saddiq, Shariffah Mahani Syed Abdul Aziz dan Syed Abdul Rahman Abdullah Asagoff; bekas penolong bendahari Pemuda Bersatu Rafiq Hakim Razali; dan pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Nurul Hidayah Kamarudin, Syahmeizy Sulong dan Asbi Munip.

Kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin dan Mohd ‘Afif Ali, manakala peguam Gobind Singh Deo dan Haijan Omar mewakili Syed Saddiq.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.