54 projek di P Pinang tak patuh EIA, kata JAS

54 projek di P Pinang tak patuh EIA, kata JAS

Hasil pemeriksaan Jabatan Alam Sekitar Pulau Pinang ke atas 85 projek aktif mendapati hanya 36% atau 31 projek mematuhi EIA, manakala 54 projek atau 64% lagi tidak mematuhi EIA.

Jabatan Alam Sekitar Pulau Pinang berkata, antara kesalahan dikesan di tapak projek adalah gagal mematuhi peraturan pengurusan kualiti udara, air dan buangan terjadual. (Gambar Facebook Jabatan Alam Sekitar)
BUKIT MERTAJAM:
Pemeriksaan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang ke atas 85 projek aktif yang tertakluk di bawah aktiviti Perintah Kualiti Alam Sekeliling 2015 di negeri itu mendapati 54 daripadanya disahkan tidak mematuhi laporan penilaian impak alam sekitar (EIA).

Pengarahnya, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, dapatan itu diperoleh pihaknya hasil pemeriksaan yang dijalankan ke atas premis atau projek yang mendapat kelulusan EIA sejak awal tahun ini hingga 24 Okt lepas.

“JAS Pulau Pinang menjalankan pemeriksaan wajib ke atas semua premis atau projek yang mendapat kelulusan EIA untuk memastikan semua peraturan ditetapkan dipatuhi mereka, termasuk projek berskala besar dan kuari yang ketika ini proses pembinaan di lapangan masih dijalankan.

“Dalam pemeriksaan kami ke atas 85 premis atau projek yang masih aktif menjalankan kerja di lapangan mendapati hanya 36%, iaitu 31 projek mematuhi EIA, manakala 54 projek atau 64% projek lagi tidak mematuhi EIA dan jumlah ini agak tinggi. Bagi kesalahan itu, JAS Pulau Pinang mengeluarkan 23 kompaun dan mengambil tujuh tindakan mahkamah,” katanya kepada pemberita di sini.

Beliau ditemui selepas merasmikan Seminar “EIA Role In Sustainable Development” sempena Hari Alam Sekitar Negara Peringkat Pulau Pinang.

Sharifah Zakiah berkata, dalam pemeriksaan, pihaknya mendapati antara pelanggaran EIA yang dikesan adalah gagal memastikan projek yang dilaksanakan mematuhi peraturan ditetapkan dari segi pengurusan kualiti udara, air dan buangan terjadual.

Katanya, syarat kelulusan EIA terlalu banyak, namun yang utama JAS Pulau Pinang lihat dari aspek pengurusan kualiti udara, air dan buangan terjadual yang jika tidak dipatuhi akan memberi impak kepada masyarakat serta alam sekitar.

“EIA yang membabitkan projek berskala besar memerlukan semua syarat yang ditetapkan dan dipatuhi. Jika pelepasan air tidak ikut syarat serta tidak membuat kawalan hakisan dan kelodakan di tapak, ia boleh menyebabkan bencana alam seperti banjir dan pencemaran sungai.”

Secara keseluruhannya, JAS negeri melakukan 1,265 pemeriksaan penguatkuasaan ke atas premis, termasuk projek yang mendapat kelulusan EIA dari awal tahun ini hingga 24 Okt dan 743 pemeriksaan, iaitu 58% patuh, manakala 522 pemeriksaan atau 42% tidak patuh.

Menurutnya, sepanjang tempoh sama, 426 kompaun bernilai RM852,000 dikeluarkan terhadap pemilik premis dan 48 tindakan mahkamah diambil kerana melanggar peraturan ditetapkan.

“Jumlah premis secara keseluruhan yang patut kita periksa ialah 8,492, namun dengan hanya 60 staf JAS Pulau Pinang, kami hanya mampu menjalankan pemeriksaan terhadap 15% premis, bagaimanapun kami amat menitikberatkan soal EIA.

“Negeri ini kecil, tetapi sangat pesat membangun. Namun, di sebalik kepesatan ini, kami mahu rakyat selesa tinggal di negeri ini dan kita berusaha memastikan alam sekeliling berada dalam keadaan baik.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.