Wong Tack digugurkan, Young Syefura ganti di Parlimen Bentong

Wong Tack digugurkan, Young Syefura ganti di Parlimen Bentong

Bekas ADUN Ketari itu antara empat calon yang dinamakan parti itu untuk kerusi parlimen di Pahang pada PRU15.

DAP telah memilih untuk meletakkan bekas ADUN Ketari, Young Syefura Othman (kiri) bagi kerusi Bentong dan bukannya bekas Ahli Parlimennya Wong Tack.
KUALA LUMPUR:
DAP menamakan bekas ADUN Ketari, Young Syefura Othman sebagai calonnya bagi kerusi Parlimen Bentong pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Ini bermakna bekas Ahli Parlimen Bentong Wong Tack tidak akan mempertahankan kerusinya, selepas menewaskan bekas presiden MCA Liow Tiong Lai pada 2018.

Setiausaha Agung DAP, Loke Siew Fook turut mengumumkan tiga lagi calon iaitu bekas Ahli Parlimen Raub Tengku Zulpuri Shah Raja Puji yang bertanding di Lipis, bekas ADUN Tras Chow Yu Hui (Raub) dan bekas ADUN Tanah Rata Chiong Yoke Kong (Cameron Highlands).

Loke berkata, aktivis alam sekitar itu ditawarkan untuk bertanding di Cameron Highlands namun beliau tidak bersetuju.

Berikutan itu, Loke berkata, Young Syefura akan bertanding di Bentong.

Young Syefura memenangi kerusi DUN Ketari, yang terletak bawah Parlimen Bentong, pada PRU14 selepas kali pertama diletakkan sebagai calon.

“Kami mahu mengambil langkah berani dan strategik untuk kerusi Bentong. Kami mencadangkan dia bertanding di Cameron Highlands sebaliknya, tetapi dia tidak bersetuju,” katanya.

Ketika ditanya mengenai sebab keengganannya bertanding di Cameron Highlands, Loke berkata, Wong Tack akan memaklumkan sendiri perkara itu.

“Saya bercakap dengannya selama tiga jam mengenai isu kerusi Bentong. Pada hari terakhir, beliau membuat pilihan sendiri. Saya tidak boleh memaksanya. Kami terpaksa membuat keputusan dan tidak mempunyai masa lagi,” katanya.

Sementara itu, Presiden MCA Wee Ka Siong dilaporkan berkata, parti itu mahu Liow bertanding semula di kerusi itu pada PRU15.

Katanya lagi, DAP mahu meletakkan muka baharu tetapi mempunyai pengalaman di kawasan masing-masing.

“Kami mahu Rara (Young Syefura) menjadi Ahli Parlimen Melayu wanita pertama DAP,” katanya.

Dalam pada itu, Naib Pengerusi DAP Teresa Kok berkata meletakkan Young Syefura adalah langkah strategik kerana komposisi kaum di kawasan itu.

“Di Bentong, Melayu terdiri 50.6% daripada populasi, Cina 38.9%, India 9.5%, lain-lain 1.8%. Jadi, ia sebenarnya kerusi campuran dengan Melayu membentuk bahagian terbesar.

“Jadi adalah wajar dan tepat dari segi strategi untuk meletakkan calon wanita Melayu. Kami mahu mempromosikan lebih ramai wanita ke jawatan peringkat pembuat keputusan untuk negara dan di Parlimen,” kata bekas Ahli Parlimen Seputeh itu.

Loke juga berkata, beliau akan bertindak sebagai mentor untuk calon Lipis, Cameron Highlands dan Raub manakala Kok bersama Young Syefura.

Abdul Rahman Mohamad dari Umno menang kerusi Lipis dalam pertembungan tiga penjuru dengan calon Bersatu, Badarudin Abd Rahaman dan Sobirin Duli dari PAS dengan majoriti 6,569 undi.

Tengku Zulpuri, timbalan setiausaha agung DAP, menang di Raub dengan majoriti 3,159 undi menentang Chew Mei Fun dari MCA dan Nilam Abdul Manap dari PAS.

Manakala calon MIC, C Sivarraajh menang di Cameron Highlands tetapi Mahkamah Pilihan Raya memutuskan kemenangan itu terbatal selepas didapati berlaku pembelian undi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.