
Timbalan Ketua Pengarah (Strategik dan Teknikal) MetMalaysia, Mohd Hisham Mohd Arip berkata, corak cuaca tidak boleh ditentukan ketika ini kerana negara masih berada di fasa peralihan monsun yang bermula 3 Okt lepas hingga bulan depan.
“Ada 10 hari lagi sebelum penamaan calon pada 5 Nov ini dan agak sukar untuk kita (MetMalaysia) ramalkan sama ada cuaca baik atau buruk pada masa itu.
“Namun, kita akan cuba sebaik mungkin untuk menyampaikan maklumat cuaca dalam tempoh empat atau lima hari sebelum itu,” katanya dalam segmen “Ketidaktentuan Cuaca dan Kesan” program Malaysia Petang Ini terbitan Bernama TV.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 5 Nov untuk penamaan calon, 15 Nov bagi pengundian awal dan 19 Nov hari pengundian.
Hisham berkata, Malaysia dijangka tidak mengalami cuaca luar biasa dalam fasa peralihan monsun dan taburan hujan masih berada di paras normal di kebanyakan negeri setakat bulan ini.
Beliau berkata, keadaan cuaca fasa peralihan monsun kebiasaannya bersifat sekejap dengan cuaca cerah di sebelah pagi, manakala lebih banyak ribut petir pada sebelah petang.
Beliau menasihatkan orang ramai jangan mudah percaya maklumat cuaca yang disebarkan warganet, sebaliknya perlu merujuk MetMalaysia.
Ini kerana, katanya, MetMalaysia mempunyai pelbagai sumber untuk mendapatkan maklumat cuaca terkini yang sahih dan tepat.
“Kebanyakan warga maya membuat rujukan kepada sumber yang didakwa boleh dipercayai, tetapi maklumat diperoleh tidak lengkap, tidak dikemas kini secara berkala dan membuat ramalan cuaca terlalu jauh ke hadapan sesuatu tarikh, justeru agak mengelirukan.
“Oleh itu, saya minta warganet berhenti menyebarkan maklumat cuaca kurang tepat yang berupaya mencetuskan keadaan panik dalam kalangan orang ramai,” katanya.