Santiago digugur, Ganabatirau akan tanding di Klang

Santiago digugur, Ganabatirau akan tanding di Klang

Penyandang kerusi Parlimen itu selama tiga penggal, Charles Santiago digugurkan DAP.

Charles Santiago akan digantikan V Ganabatirau sebagai calon DAP di kerusi Parlimen Klang.
PETALING JAYA:
DAP menamakan ADUN Kota Kemuning, V Ganabatirau sebagai calonnya untuk kerusi Parlimen Klang pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Ini bermakna Charles Santiago tidak akan mempertahankan kerusi Parlimen itu yang disandangnya selama tiga penggal.

Setiausaha Agung DAP, Loke Siew Fook turut mengumumkan tiga calon untuk kerusi Parlimen Bangi, Puchong dan Damansara, iaitu setiausaha politik Lim Kit Siang, Syahredzan Johan, bekas Ahli Parlimen Bakri, Yeo Bee Yin dan bekas Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo.

Santiago dalam respons segeranya berkata, beliau tidak berhasrat bertanding sebagai calon bebas selepas digugurkan DAP.

Majoriti undi yang diraih Santiago meningkat dalam tiga PRU lalu sejak 2008. Beliau kerusi Parlimen itu dengan majoriti 17,701 undi pada 2008, diikuti majoriti 24,685 undi pada 2013dan kelebihan 78,773 undi pada 2018.

Berdasarkan daftar pemilih lalu, kawasan itu mempunyai kira-kira 55% pengundi Cina, diikuti 26% Melayu dan 18% India.

Khabar angin Santiago akan digantikan mendapat bantahan kumpulan perniagaan, NGO dan penduduk di Klang yang menganggap beliau pemimpin cekap dan prihatin, terutama ketika banjir besar tahun lalu.

Sementara itu, Syahredzan akan menyertai pilihan raya buat julung kali, menggantikan penyandang kerusi Parlimen Bangi selama dua penggal, Ong Kian Ming yang sebelum ini menyuarakan hasrat berehat daripada politik untuk “merenung semula bagaimana memanfaatkan pengetahuan dan kemahiran dikumpulkan dalam sembilan tahun lepas dengan sebaiknya”.

Loke berkata, pencalonan Syahredzan demi memastikan parti itu mencapai visinya menjadi parti berbilang bangsa.

“Sudah pasti kami berterima kasih atas sokongan komuniti Cina dan India. Tanpa mereka, tiada DAP hari ini.

“Tetapi, untuk terus maju…Kita perlu mendapatkan sokongan masyarakat Melayu bagi menjadikan DAP sebagai parti berbilang bangsa yang sebenar,” katanya.

Malaysia akan mengundi pada 19 Nov ini, dengan pengundian awal pada 15 Nov dan penamaan calon pada 5 Nov.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.