
Perdana menteri sementara itu berkata, perkara itu akan dibincangkan oleh pihak Kementerian Pengajian Tinggi dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia sebagai antara cara menangani isu tersebut.
“Kepada pelajar yang dapat PerantiSiswa, tolong (jangan jual). Tujuan kerajaan beri adalah untuk nak bantu, jadi janganlah cari keuntungan jangka pendek dengan menjualnya,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Bangunan Kompleks Angkasapuri Kota Media di sini hari ini.
Ismail berkata, kebimbangan mengenai peranti yang diberikan akan dijual pernah dibangkitkan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia Annuar Musa sebelum ini.
Terdahulu, tular di media sosial tindakan seorang pelajar dipercayai cuba menjual PerantiSiswa jenis Samsung Tab A8 pada harga RM900, kerana ingin bertukar menggunakan iPad.
Tindakannya itu mendapat kecaman warganet.
Menurut Annuar, sebanyak 14 kes berkaitan penjualan PerantiSiswa dikesan di seluruh negara.