Helikopter terhempas di Cameron Highlands

Helikopter terhempas di Cameron Highlands

Nasib seorang juruterbang dan lima penumpang helikopter berkenaan belum diketahui.

Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia mengesahkan helikopter itu terhempas berhampiran Tanah Rata, Cameron Highlands.
PETALING JAYA:
Sebuah helikopter dengan enam penumpang dilaporkan terhempas berhampiran Tanah Rata, Cameron Highlands, Pahang pada 1.03 tengah hari tadi.

Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) yang mengesahkan laporan itu berkata, helikopter berkenaan yang dikendalikan oleh Layang-layang Aerospace Sdn Bhd berlepas dari Kampung Gawin ke Tanjung Rambutan, Perak pada 12.20 tengah hari.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Chester Voo berkata, pesawat berkenaan dipandu seorang juruterbang yang membawa lima penumpang.

“CAAM mengesahkan menerima maklumat berhubung kemalangan udara membabitkan sebuah helikopter jenis Airbus AS 355 F2 dengan nombor pendaftaran 9M-SSW,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, Pusat Kawalan Operasi Kecemasan (EOC) CAAM dan Pusat Koordinasi Menyelamat Aeronautial (ARCC) di Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KLATCC) di Sepang diaktifkan segera pada 1.11 tengah hari.

“Unit mencari dan menyelamat pertama melalui jalan darat digerakkan ke lokasi kejadian 19 minit kemudian dan usaha mencari dan menyelamat masih dijalankan,” katanya.

Menurutnya, siasatan lanjut dilaksanakan Biro Siasatan Kemalangan Udara di bawah Kementerian Pengangkutan mengikut Bahagian XXVI Peraturan-peraturan Penerbangan Awam 2016.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.