Anak kami dibunuh, ibu bapa nafi laporan bunuh diri

Anak kami dibunuh, ibu bapa nafi laporan bunuh diri

Keluarga pelajar yang dibunuh di Taiwan menafikan laporan mangsa membunuh diri dan mengambil dadah.

Ibu bapa pelajar yang dikenali dengan nama keluarganya, Chai menafikan dakwaan anak mereka membunuh diri.
SERDANG:
Keluarga pelajar Malaysia yang ditemui mati di pangsapurinya di Taiwan pada 13 Okt lalu mengesahkan anak perempuan mereka dibunuh.

Peguam mereka berkata, ibu bapa pelajar yang hanya dikenali dengan nama keluarganya, Chai menolak laporan beberapa media dan spekulasi di media sosial yang mendakwa anak mereka membunuh diri.

“Kami mempunyai sijil kematian yang dikeluarkan pihak berkuasa Taiwan dan mereka mengklasifikasikannya sebagai homisid, atau lebih khusus, dicekik,” kata peguam Kitson Foong dan Chew Jee San.

Foong berkata, keluarga itu turut menafikan laporan Taipei Times bahawa hasil bedah siasat menunjukkan dadah ditemui dalam badan mangsa ketika kematiannya.

Bapa mangsa (tengah) bersama peguam, Kitson Foong (dua dari kanan), Goh Siu Lin (dua dari kiri) dan Chew Jee San (kanan) pada sidang media hari ini.

“Laporan toksikologi belum dikeluarkan, jadi dari mana media Taiwan dapat maklumat ini?” tanya mereka dalam sidang media sebelum upacara memperingati Chai.

Mengulas laporan berhubung seorang suspek sudah ditahan pihak berkuasa Taiwan, Foong berkata, keluarga mangsa tidak pernah menemui lelaki yang dikenali sebagai Chen itu.

Katanya, ibu bapa mangsa juga tidak dapat mengesahkan suspek adalah teman lelaki anak mereka.

“Anak perempuan mereka tidak pernah memperkenalkan lelaki itu kepada keluarganya, jadi mereka tidak tahu kewujudannya mahupun hubungan mereka.”

Minggu lalu, polis Taipei dilaporkan berkata, Chen mengaku mencekik Chai selepas bergaduh kerana isu wang dan pasangan itu bercinta tidak sampai seminggu.

Chen ditahan untuk soal siasat sejurus dibenarkan keluar dari hospital pada 17 Okt lalu selepas gagal dalam cubaan membunuh diri.

Seorang lagi peguam keluarga itu, Goh Siu Lin meminta media tempatan dan antarabangsa lebih sensitif serta bertanggungjawab dalam laporan mereka.

“Kami tidak boleh mengawasi media di sini dan luar negara, tetapi apa yang boleh kami katakan – tolong jangan lupa Chai adalah mangsa jenayah dahsyat.

“Kami tidak mahu keluarga ini mengalami trauma semula, jadi sila sahkan atau periksa fakta dengan kami.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.