
Beliau yang juga menteri komunikasi dan multimedia mengesahkan terdapat kekurangan lebih 96 juta biji telur sebulan, berikutan pengeluaran bulanan hanya 871.9 juta biji berbanding keperluan 968.8 juta biji, susulan kenaikan kos pengeluaran.
“Kita sama sekali tidak melihat opsyen import sebagai satu penyelesaian. Pertama kerana kedudukan harga telur di luar jauh lebih mahal, jadi tak mungkin kita import telur yang lebih mahal dan jual murah di negara kita, selain kita nak jaga industri pengeluaran tempatan.
“Kalau harga telur diapungkan pula, harga dijangka melonjak tidak kurang 12 sen, maka pasukan tidak memperakukan cadangan ini, walaupun pengapungan dilihat sebagai jalan keluar lebih kekal, terutama mengikut pandangan pengeluar di ladang,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat pasukan itu di sini.
Bagi menangani isu itu, katanya, pasukan berkenaan mengesyorkan subsidi lapan sen bagi sebiji telur ditambah sebanyak dua sen, melibatkan implikasi kewangan sebanyak RM20 juta sebulan atau harga kawalan sedia ada dinaikkan sebanyak dua sen sebiji.
Annuar berkata, ketika ini, harga telur ayam di peringkat ladang bagi gred A adalah 41 sen sebiji, gred B 39 sen dan 37 sen bagi gred C.
Bagaimanapun, katanya, kos pengeluaran bagi sebiji telur gred A di peringkat ladang, contohnya ialah 51 sen.
“Jadi, kalau kos gred A 41 sen dicampur lapan sen (subsidi) berjumlah 49 sen, pendapatan pengeluar dua sen lebih rendah daripada kos pengeluaran. Ini menyebabkan sebahagian penternak mengambil tindakan seperti menghapuskan ayam yang mencapai umur tertentu lebih awal. Lazimnya, ayam mencapai usia 80 ke 85 hari boleh lagi bertelur, tapi terpaksa dilupuskan untuk menjimatkan kos.
“Ayam gantian kepada yang disembelih pula pengeluarannya agak perlahan, menyebabkan keseluruhan pengeluaran terus merosot dan ini akan terus menjejaskan bekalan telur dalam negara.”
Memandangkan salah satu opsyen yang dicadangkan melibatkan implikasi kewangan dalam keadaan Parlimen dibubarkan, beliau berkata, cadangan itu sudah dirujuk kepada perdana menteri dan menteri kewangan semasa mesyuarat itu diadakan kerana keputusan segera perlu dibuat.
Katanya, pasukan berkenaan meminta kerjasama pengeluar telur tidak melupuskan ayam telur pada usia lebih awal dan menyeru pihak industri mengemukakan syor lain bagi mengatasi kekurangan bekalan lebih 96 juta biji telur ketika ini.
Dari segi penguatkuasaan harga ayam dan telur, beliau berkata, sejak 5 Feb lepas, 151 kes dikenal pasti di bawah kesalahan menjual melebihi harga maksimum.
Bagi minyak masak pula, sebanyak 177 kes dikenal pasti dengan nilai rampasan berjumlah RM3.3 juta.