Pelajar Malaysia mati di Taiwan akibat dicekik, patah leher

Pelajar Malaysia mati di Taiwan akibat dicekik, patah leher

Polis Taipei berkata, teman lelaki mangsa mengaku mencekik model sambilan berusia 24 tahun itu selepas mereka bergaduh kerana isu wang.

Pelajar Malaysia itu ditemui mati di rumah sewanya di daerah Shilin, Taipei pada 13 Okt lalu.
PETALING JAYA:
Seorang pelajar Malaysia yang ditemui mati dalam pangsapurinya di Taipei pada 13 Okt lalu didapati meninggal dunia akibat sesak nafas dan patah leher, menurut laporan bedah siasat yang baru dikeluarkan.

Taipei Times melaporkan, hasil bedah siasat turut menunjukkan dadah ditemui dalam badan pelajar itu ketika kematiannya.

Pelajar berusia 24 tahun itu hanya dikenal pasti dengan nama keluarga, Chai dan dipercayai berasal dari Serdang, Selangor.

Polis Taipei berkata, minggu lalu, teman lelaki mangsa yang dikenali sebagai Chen mengaku mencekik mangsa selepas mereka bergaduh kerana isu wang. Pasangan itu dilaporkan bersama tidak sampai seminggu.

Sin Chew Daily sebelum ini melaporkan Chai menuntut di Universiti Ming Chuan di Taiwan.

Mangsa juga bekerja sebagai model sambilan dan popular dengan penstriman langsung di media sosial.

Taipei Times melaporkan Chai ditemui mati di pangsapuri yang disewanya di daerah Shilin, Taipei pada 13 Okt lalu dan kecederaannya konsisten dengan kesan cekik.

Chen pula dikejarkan ke hospital pada hari sama akibat terlebih dos ubat.

Lelaki itu dilaporkan ditahan polis untuk siasatan selepas dibenarkan keluar dari hospital.

Ketika siasatan, Chen memberitahu kematian Chai tidak disengajakan dan dia hanya mahu menakutkan mangsa ketika bergaduh kerana wang, menurut laporan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.