Jelaskan status Santiago pada PRU15, NGO India tanya Gobind

Jelaskan status Santiago pada PRU15, NGO India tanya Gobind

Gabungan 12 NGO India itu mahu bertemu dengan pengerusi DAP Selangor berhubung dakwaan Charles Santiago akan digugurkan.

Pengerusi DAP Selangor, Gobind Singh Deo dan ahli Jawatankuasa DAP negeri dijemput ke satu pertemuan bagi menjelaskan status bekas Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago.
PETALING JAYA:
Gabungan 12 NGO India dikenali sebagai i-25 mempelawa Pengerusi DAP Selangor, Gobind Singh Deo menjelaskan dakwaan penyandang kerusi Parlimen Klang selama tiga penggal, Charles Santiago akan digugurkan pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

“Kami dengan rendah hati mempelawa Gobind dan ahli Jawatankuasa DAP negeri untuk makan tengah hari atau makan malam sempena Deepavali pada minggu ini bagi menjelaskan status calon untuk Parlimen Klang pada PRU15.

“Mereka (DAP) mungkin ada alasan sendiri. Kami mahu mereka memberi penjelasan dan sekurang-kurangnya membuat kami faham supaya kami boleh memberi penerangan kepada ahli kami mengenai perubahan ini,” kata jurucakap i-25, SP Nathan dalam majlis di sini.

Nathan berkata, komuniti India di Klang bingung kerana Ahli Parlimen yang terkenal dengan kecekapannya, mempunyai prestasi Parlimen dan khidmat komuniti yang baik, inisiatif setempat dan kerja keras ini diketepikan DAP.

“Ini menimbulkan kekeliruan, kekecewaan dan juga kemarahan dalam komuniti.

“Mengapa parti itu datang kepada NGO India bagi mencalonkan seseorang yang cekap dan sekarang memperkecilkan orang sama yang masih cekap?” soalnya.

Katanya, selepas perhimpunan Hindraf pada 2007, DAP mendekati NGO India untuk mencadangkan calon yang boleh membawa aspirasi mereka dan nilai teras parti.

Nathan berkata, nama Santiago dicadangkan dan diterima oleh kepimpinan DAP berdasarkan rekod serta prestasinya sebagai profesional dan aktivis.

Katanya, Santiago julung kali memenangi kerusi Parlimen Klang pada PRU12 dan mempertahankannya dengan penambahan majoriti pada PRU13 dan PRU14.

Santiago memenangi Parlimen Klang pada PRU12 dengan majoriti 17,701 undi, yang kemudian meningkat kepada majoriti 24,685 undi pada PRU13 dan majoriti 78,773 undi pada PRU14.

Nathan berkata, sokongan terhadap Santiago merentasi sempadan kaum sehingga penyokongnya menolak beliau digantikan.

The Star pada 27 Sept lalu memetik sumber DAP sebagai berkata, ADUN Seri Kembangan selama tiga penggal, Ean Yong Hian Wah akan menjadi calon Parlimen Klang menggantikan Santiago.

Keesokannya, Santiago mengumumkan beliau tiada bercadang mengosongkan kerusi Parlimen Klang dan mengucapkan terima kasih kepada mereka yang menyokongnya.

Sumber parti memberitahu FMT, DAP mungkin menggugurkan Santiago daripada senarai calon PRU15 dan Exco Pembangunan Sosio Ekonomi, Kebajikan Masyarakat dan Pemberdayaan Pekerja Selangor, V Ganabatirau mungkin menggantikan beliau, bukannya Ean Yong.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.