
Siasatan awal polis mendapati, semua mangsa itu dibawa masuk ke Sarawak dan dipaksa melakukan aktiviti seks dengan bayaran tertentu.
Pesuruhjaya Polis Sarawak Mohd Azman Ahmad Sapri, berkata serbuan dilakukan Cawangan D7 Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak, pada 3.30 petang, Jumaat.
“Semasa tiba di lokasi, polis mendapati premis didiami kesemua mangsa berusia antara 24 hingga 29 tahun itu berkunci dari luar. Pergerakan mereka pula dikawal oleh kamera litar tertutup (CCTV),” lapor Berita Harian.
Katanya, polis kemudian menyerbu masuk dalam premis terbabit dalam usaha menyelamatkan mangsa dan hasil risikan membawa kepada penangkapan dua lelaki tempatan berusia 23 dan 25 tahun di lokasi berasingan.
“Dua lelaki itu dipercayai boleh bantu siasatan kes ini. Polis turut merampas dua pasport warganegara asing milik mangsa yang diselamatkan,” katanya memaklumkan tindakan itu diambil mengikut Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007.
Katanya, kesemua mangsa berada di negeri itu antara tiga minggu hingga lima bulan dan akan dihantar ke Pusat Perlindungan Wanita di Kota Kinabalu, Sabah untuk prosedur siasatan lanjut.