Henti hantar pulang pelarian Myanmar, desak kumpulan hak asasi manusia

Henti hantar pulang pelarian Myanmar, desak kumpulan hak asasi manusia

Human Rights Watch mendakwa, pihak berkuasa menghantar pulang 2,000 warga Myanmar termasuk askar yang berpaling tadah, tanpa menilai permohonan suaka dan perlindungan mereka.

HRW berkata, kira-kira 180,000 pelarian dan pencari suaka politik, majoriti dari Myanmar berdaftar dengan UNHCR di Malaysia. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Satu kumpulan hak asasi manusia dari Amerika Syarikat menggesa kerajaan menghentikan penghantaran pulang pencari suaka politik dari Myanmar kerana meletakkan nyawa mereka dalam bahaya.

Human Rights Watch (HRW) yang berpangkalan di New York berkata, pihak berkuasa Malaysia menghantar pulang lebih 2,000 warga Myanmar termasuk askar yang berpaling tadah, tanpa menilai permohonan suaka dan perlindungan mereka.

Katanya, lebih 2,000 dihantar pulang dalam tempoh dua bulan lalu.

“Menghantar pencari suaka politik ini balik ke Myanmar bermakna meletakkan aktivis, penentang dan minoriti yang ditindas kembali menjadi mangsa penindasan Junta,” kata penyelidik Asia HRW, Shayna Bauchner.

HRW juga menggesa Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) diberi “akses segera dan tanpa sekatan” kepada semua tahanan di pusat tahanan imigresen supaya dakwaan status pelarian dan keperluan perlindungan lain boleh disemak.

Katanya, pegawai kedutaan Myanmar bertemu pegawai imigresen Malaysia pada bulan lalu untuk membincangkan penghantaran pulang warga Myanmar di pusat tahanan.

Sejak itu kata HRW, tiga penerbangan yang disewa sudah diaturkan. Penerbangan pertama pada 22 Sept membawa pulang 149 warga Myanmar diikuti 150 orang lagi pada 6 Okt dan 150 orang pada 20 Okt.

Reuters melaporkan, penerbangan pada 6 Okt itu turut membawa enam pegawai yang berpaling tadah daripada tentera laut Myanmar. HRW berkata, pegawai junta menahan sekurangnya seorang pegawai dan isterinya ketika mereka tiba di Yangon.

HRW melaporkan seramai 1,500 warga Myanmar lagi dihantar pulang antara April hingga pertengahan Sept.

Kira-kira 180,000 pelarian dan pencari suaka politik, majoriti dari Myanmar termasuk 100,000 etnik Rohingya berdaftar dengan UNHCR di Malaysia.

Sekurangnya 17,500 pelarian lagi termasuk 1,500 kanak-kanak ditahan di 21 pusat tahanan imigresen di seluruh negara.

Myanmar dilanda krisis sejak tahun lalu apabila tentera merampas kuasa daripada kerajaan demokrasi yang dipimpin parti Aung Sung Suu Kyi sebelum melancarkan operasi berdarah memburu kumpulan penentang.

Puluhan ribu penduduk dilaporkan dipenjara dan ramai yang diseksa, dipukul atau dibunuh dalam tindakan yang digelar PBB sebagai jenayah terhadap kemanusiaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.