‘Umno tak menang, kita bincang pihak lain tubuh kerajaan’, kata pemimpin GPS

‘Umno tak menang, kita bincang pihak lain tubuh kerajaan’, kata pemimpin GPS

Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Dr Sim Kui Hian menolak tanggapan GPS hanya akan bekerjasama dengan Umno semata-mata.

Timbalan Premier Sarawak Dr Sim Kui Hian, berkata Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan berbincang dengan pihak yang menang pilihan raya umum ke-15 (PRU15) untuk kerjasama menubuhkan kerajaan persekutuan baharu. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Gabungan Parti Sarawak (GPS) terbuka membentuk kerjasama membentuk kerajaan persekutuan baharu dengan parti yang ‘menang’ pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15), kata Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Dr Sim Kui Hian.

Beliau yang juga timbalan premier Sarawak, berkata tidak semestinya akan bekerjasama dengan Umno semata-mata memandangkan gabungan itu bergerak secara solo.

“Kali ini, kita (GPS) akan bergerak sendiri untuk pilihan raya. Umno menang, barulah kita bincang. Umno tidak menang, maka kita akan berbincang dengan pihak lain. Itu sahaja.

“Ingatlah bahawa, GPS bergerak solo dan tidak sama dengan Umno,” katanya menurut Utusan Borneo.

Sebelum ini, Premier Sarawak yang juga pengerusi GPS, Abang Johari Openg, berkata GPS akan bertanding pada pilihan raya Parlimen akan datang buat pertama kali dalam sejarah bukan di bawah panji Barisan Nasional (BN).

Tujuh kawasan Parlimen yang ditandingi secara tradisi SUPP membabitkan Bandar Kuching, Stampin, Serian, Sarikei, Sibu, Lanang dan Miri.

Selain SUPP, GPS turut dianggotai Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak dan Parti Demokratik Progresif (PDP).

Pada 18 Okt, Abang Johari mengibaratkan GPS seperti “gadis cantik” sehingga ramai yang berusaha ‘menguratnya’.

Katanya, ketika ini GPS dengan pakatan parti politik di Semenanjung masih dalam ‘fasa bercinta’ (berbaik-baik) dan sedang merancang untuk ‘bertunang’ (mengikat perjanjian).

“Dah nama orang kacak, semua orang ngagak (jumpa), tapi kinek tuk masih bergerek, belum bertunang lagi. (Dah namanya orang cantik, semua orang cuba mendekati, tetapi sekarang masih bercinta lagi, belum bertunang),” katanya memetik Berita Harian.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.