
Pada Februari 2020, sekumpulan Ahli Parlimen PKR bergabung dengan Bersatu, Barisan Nasional dan PAS dalam apa yang dipanggil Langkah Sheraton untuk menggulingkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) selepas ia memerintah selama 22 bulan.
Semalam, Hadi berkata beliau adalah penggerak utama di sebalik kejadian itu selepas PAS merasakan PH sedang bergerak untuk menghapuskan hak istimewa orang Melayu.
Khalid berkata, Hadi terdesak untuk berkuasa dan takut kepada PH.
Beliau berkata, Hadi tidak dapat menerima hakikat bahawa gabungan itu berjaya mentadbir negara kerana ia akan menyukarkan PAS menguruskan harapan ahli dan penyokongnya.
“Saya tidak terkejut Hadi adalah salah seorang dalang (di sebalik Langkah Sheraton) kerana ia memerlukan fikiran jahat untuk berbuat demikian,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat di ibu pejabat PKR di sini.
Hadi berkata, beliau memulakan langkah untuk menghentikan rancangan PH meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) dengan membincangkan langkah menggulingkan gabungan itu dengan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin.
Katanya, selepas Muhyiddin bersetuju menggulingkan PH, beliau bertemu pemimpin Umno untuk membincangkan perkara itu.
Selepas semua yang terlibat mencapai kata sepakat, Hadi berkata Muhyiddin mengumumkan Bersatu akan meninggalkan PH.
Khalid berkata, sifat Hadi sangat berbeza dengan bekas mursyidul am PAS, Nik Abdul Aziz Nik Mat, yang menurutnya tidak akan membenarkan Langkah Sheraton berlaku.
“Nik Aziz tidak akan bersetuju dengan Langkah Sheraton kerana beliau menghormati mandat rakyat,” kata Khalid.