
Azmi Hassan dari Akademi Nusantara, berkata ini kerana pengundi Umno dan BN akan “menghukum” Hussin yang mengkhianati undi mereka dengan keluar menjadi wakil rakyat Bebas selepas pilihan raya umum ke-14 (PRU14), sebelum menyertai Bersatu.
“Syed Hussin dengan Bukit Gantang ada stigma yang tidak elok. Jika Syed Hussin pertahan kerusinya guna simbol Bersatu, pengundi Umno akan menghukumnya.
“… dan peluang untuk calon BN rampas kerusi adalah tinggi,” katanya kepada FMT.
Baru-baru ini, FMT melaporkan Bersatu yakin kerusi itu kekal diwakili penyandangnya walaupun PAS berhasrat menuntut semula kerusi berkenaan selepas kalah pada PRU lalu.
Kerusi berkenaan dimenangi Hussin atas tiket BN mengalahkan Naib Presiden PAS Idris Ahmad (16,052) dan calon dari PKR, Khadri Khalid (18,361) dengan majoriti 4,089 undi. Hussin kemudian keluar Umno dan menjadi wakil rakyat Bebas sebelum menyertai Bersatu.
Mengulas lanjut, Azmi berkata sekiranya Bersatu berkeras mahu mengekalkan kawasan itu miliknya, parti pimpinan Muhyiddin Yassin itu perlu meletakkan muka baharu untuk menawan semula hati pengundi.
Bagaimanapun, katanya, adalah lebih baik kerusi berkenaan diberikan kepada PAS yang dilihat mempunyai peluang lebih tinggi untuk mengekalkan kerusi itu menjadi milik Perikatan Nasional (PN).
“Walaupun guna simbol PN jika calon PAS dicalonkan kemungkinan ada harapan untuk kekalkan kerusi itu kerana sebelum Syed Hussin menang kerusi itu ianya kerusi PAS, jadi kalau ikut strateginya politiknya, lebih baik diberi kepada PAS,” katanya.
Hussin dilaporkan berkata, beliau mengakui positif akan dicalonkan semula bagi mewakili suara rakyat Bukit Gantang kerana ia adalah kerusi menang untuk Bersatu.
Ahmad Fauzi Abdul Hamid dari Universiti Sains Malaysia (USM) pula berpandangan sudah tiba masanya PAS membalas “budi” Bersatu yang membawa parti itu bersama dalam kerajaan persekutuan.
“Dalam sebuah gabungan parti politik yang harmoni, perlu ada sikap memberi dan menerima, bukan mengaut keuntungan dari rakan gabungan apabila tiba sahaja peluang.
“Sekiranya PAS boleh menunjukkan sikap mengorbankan beberapa kerusinya yang berpotensi untuk menang kepada Bersatu, maka tak timbul soal kewajaran memberi kerusi atau tak kerana lumrah gabungan itu perlu ada kompromi,” katanya.