Tok Pa, Ikmal guna logo ‘bulan’ di Kelantan

Tok Pa, Ikmal guna logo ‘bulan’ di Kelantan

PAS sebelum ini memutuskan untuk menggunakan simbol rasmi parti itu di tiga negeri diterajui mereka - Kelantan, Terengganu dan Kedah - pada PRU15.

Mustapa Mohamed dan Ikmal Hisham Abdul Aziz sebelum ini bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) sebelum keluar parti dan menyertai Bersatu selepas PRU14.
KOTA BHARU:
Wakil Bersatu di Kelantan, Mustapa Mohamed dan Ikmal Hisham Abdul Aziz akan menggunakan simbol “bulan” pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15), kata Muhyiddin Yassin.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu mengumumkan perkara berkenaan ketika berucap pada Himpunan Penyatuan Ummah di Kelantan, malam tadi.

“Calon Bersatu kalau ada di Kelantan ini, Tok Pa (Mustapa) dan Ikmal. Kedua-dua mereka ini akan masuk bertanding (PRU15) pakai bendera PAS (simbol bulan).

“Jangan tak pangkah dia (sokong). Kami (PN) dalam mesyuarat baru-baru ini dah bersetuju…Kelantan akan pakai simbol PAS,” katanya menurut Utusan Malaysia.

Pada PRU14, Mustapa mengekalkan Parlimen Jeli yang diwakilinya sejak 2004 atas tiket Barisan Nasional (BN), namun keluar parti menjadi wakil rakyat bebas sebelum menyertai Bersatu pada 26 Okt 2018. Beliau kemudian dilantik Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) dalam Jemaah Menteri Muhyiddin Yassin dan Ismail Sabri Yaakob.

Manakala Ikmal yang menang di Parlimen Tanah Merah menggunakan logo BN ketika PRU14 turut keluar parti dan menyertai Bersatu selepas Umno-BN tumbang di peringkat pusat. Ikmal kemudian diberi kepercayaan sebagai Timbalan Menteri Pertahanan bagi kerajaan Muhyiddin dan Ismail.

PAS sebelum ini memutuskan untuk menggunakan simbol rasmi parti itu di tiga negeri diterajui mereka – Kelantan, Terengganu dan Kedah – pada PRU15.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.