Santiago, Kasthuri tak tanding, DAP mungkin terima padah

Santiago, Kasthuri tak tanding, DAP mungkin terima padah

Terdapat beberapa petunjuk serius bahawa parti itu sedang melalui tempoh sukar.

Pemerhati percaya DAP membuat kesilapan dengan menyingkirkan Charles Santiago dari Klang dan melepaskan Kasthuri Patto.
PETALING JAYA:
Jika DAP gagal pada pilihan raya akan datang selepas pencapaian tinggi mereka pada 2018, ia salah mereka sendiri, kata sumber dalaman parti.

Terdapat petunjuk serius bahawa parti itu sedang melalui tempoh sukar.

Parti itu melawan serangan serius oleh pemimpin PAS yang mendakwa DAP sebagai parti komunis yang cuba melemahkan Islam dan orang Melayu.

Kini persoalan dibangkitkan oleh laporan bahawa Charles Santiago tidak akan dipilih mempertahankan kerusi Klang walaupun menunjukkan prestasi cemerlang. dan Kasthuri Patto memutuskan untuk tidak bertanding pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Malangnya, isu terbabit menjadi perbalahan perkauman dalam “meme” dan poster di media sosial.

“Ini akan menjejaskan undi kaum India dan pemimpin parti harus tahu,” kata satu sumber.

Katanya, Santiago, 61, telah berjumpa dengan pemimpin parti secara tertutup bertanyakan mengapa beliau digugurkan atau dipindahkan, walaupun beberapa pemimpin komuniti Cina dan kumpulan lain menyokongnya, menyifatkannya “Ahli Parlimen berjiwa rakyat”.

Ura-ura tersebar dalam kalangan lingkungan parti bahawa beliau bukan “orang parti” dan bekerja bersendirian.

“Ini bukan kriteria untuk menilai prestasi Ahli Parlimen, ia sepatutnya apa yang mereka lakukan di lapangan,” kata sumber.

Sumber itu mendakwa penyingkiran Santiago ada kaitan dengan rundingan dan pertukaran antara pemimpin parti tertentu semasa pemilihan parti baru-baru ini.

Katanya, segelintir pemimpin parti berusaha untuk meletakkan ADUN Seri Kembangan tiga penggal, Ean Yong Hian Wah, sebagai calon di kerusi Parlimen Klang walaupun dianggap sebagai tidak mempunyai pencapaian sebagai Exco dan ADUN.

Bagaimanapun, mereka menyedari bahawa Yong akan ditolak oleh masyarakat India dan Cina dan selepas dilihat terlalu senyap di DUN Selangor, membuatkan orang ramai tertanya-tanya bagaimana beliau akan berfungsi di Parlimen.

Pemimpin parti kemudian mempertimbangkan idea meletakkan Yong di Puchong dan memindahkan Gobind Singh Deo ke Damansara, katanya.

Bagi meredakan serangan perkauman, kata sumber, kepimpinan parti sedang merancang untuk meletakkan calon India di dua kerusi itu.

Antara aduan terhadap Santiago adalah penyertaannya dalam pasukan pelan tindakan India Selangor oleh menteri besar, memintas Exco kerajaan negeri V Ganabatirau. Sumber lain berkata, perkara ini menimbulkan kemarahan Ganabatirau, yang kemudian mengadu kepada kepimpinan.

Sumber itu berkata, ada “tok dalang” yang bertanggungjawab dalam perkara ini.

“Ada ‘panglima perang’ dalam DAP yang menjadikan parti sebagai tebusan. Mereka seolah-olah tidak kisah pelantikan dibuat demi kepentingan masyarakat, bukan untuk keagungan seseorang individu,” tambahnya.

Mengenai Kasthuri, pemimpin parti dikecam kerana membenarkan seorang Ahli Parlimen muda yang telah berkhidmat selama dua penggal melepaskan kerusinya walaupun beliau diberitahu akan dicalonkan pada PRU15.

Kasthuri, 43, berkata beliau mahu memberi tumpuan kepada perjuangan hak asasi manusia dan hal ehwal wanita.

“Wujud perkara lain melampaui apa yang kita dapat lihat. Beliau mengalami kesukaran dalam mengendalikan ‘orang DAP Pulau Pinang’ tertentu sejak setahun lepas.

“Tidak lagi menjadi rahsia bahawa ADUN Perai P Ramasamy, yang juga timbalan ketua menteri, mengetuai kumpulan yang menentang Kasthuri.

“Sukar untuk percaya bahawa beliau berundur untuk memberi peluang kepada orang lain atau mengejar minatnya yang lain. DAP mungkin telah membunuh kerjaya politik seseorang yang mempunyai masa depan yang cerah apabila kepimpinan tidak menegur pemimpin tertentu,” katanya.

Bagaimanapun, masalah Kasthuri bermula sejak PRU 2018, apabila beliau berdepan gangguan selepas dinamakan sebagai calon. Beliau diberitahu beliau tidak mempunyai sokongan dan hanya pemimpin parti tertentu yang menyokongnya.

Sumber berkata, pengumuman mengejut Kasthuri untuk berundur juga menimbulkan beberapa persoalan kerana beliau ditemu bual media baru-baru ini, hanya dua hingga tiga minggu lepas.

“Kasthuri orang kuat parti dan tidak mahu DAP menderita. Baginya, parti lebih penting daripada individu. Jadi beliau berundur secara terhormat,” kata sumber itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.