Venezuela beri AS masa 2 bulan untuk mohon ekstradisi ‘Fat Leonard’

Venezuela beri AS masa 2 bulan untuk mohon ekstradisi ‘Fat Leonard’

Jika pihak berkuasa AS tidak mematuhinya dalam tempoh tersebut, mahkamah akan mengeluarkan perintah 'pembebasan tanpa had' bagi ahli perniagaan Malaysia itu.

Ahli perniagaan Malaysia dalam buruan, Leonard Glenn Francis, atau digelar ‘Fat Leonard’ tiba di Venezuela dari Mexico dan merancang untuk pergi ke Rusia, menurut Interpol Venezuela. (Gambar AP)
CARACAS:
Mahkamah tertinggi Venezuela memberi kerajaan Amerika Syarikat tempoh 60 hari untuk memohon ekstradisi ahli perniagaan Malaysia dalam buruan, Leonard Glenn Francis, atau “Fat Leonard,” yang terbabit dalam kes rasuah Tentera Laut AS.

Keputusan mahkamah tertinggi itu dikeluarkan minggu lepas tetapi hanya diumumkan pada Rabu oleh wartawan media rasmi.

Francis ditahan pada 21 Sept di lapangan terbang utama Caracas ketika dia bersedia untuk berlepas ke Rusia. Kerajaan AS sebelum ini telah mengeluarkan permintaan “bendera merah” melalui Interpol untuk penahanannya.

Keputusan mahkamah Venezuela itu dibuat ketika hubungan yang sudah lama tegang antara Washington dan Caracas kelihatan bertambah baik dalam beberapa bulan kebelakangan ini.

Mahkamah berkata, ia akan memaklumkan AS melalui Kementerian Luar Venezuela, termasuk keputusannya agar permohonan ekstradisi rasmi difailkan dalam tempoh dua bulan dan disertakan keterangan yang membuktikan jenayah Francis.

Jika pihak berkuasa AS tidak mematuhinya dalam tempoh dua bulan, mahkamah akan mengeluarkan perintah “pembebasan tanpa had” bagi ahli perniagaan itu, menurut keputusan bertarikh 13 Okt itu.

Francis tiba di Venezuela dari Mexico selepas singgah di Cuba, dan merancang untuk pergi ke Rusia, menurut Interpol Venezuela.

Dia dilaporkan menanggalkan gelang kaki pengawasannya dan melarikan diri dari tahanan dalam rumah di AS pada awal September, menjelang penjatuhan hukuman terhadapnya, menurut San Diego Union-Tribune.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.