
Timbalan Pendaftar Mahkamah Persekutuan, Wan Fatimah Zahara Wan Yussoff dan Siti Hajar Mustaffa yang mendengar pengurusan kes hari ini menetapkan 19, 20 dan 26 Jan depan untuk mendengar permohonan semakan itu.
Peguam Muhammad Farhan Muhammad Shafee yang mewakili Najib dan Timbalan Pendakwa Raya (TPR), Mohd Ashrof Adrin Kamarul, ketika dihubungi mengesahkan tarikh perbicaraan itu.
Farhan berkata, mahkamah juga menetapkan 2 Dis ini untuk satu lagi pengurusan kes bagi semakan tersebut.
Sementara itu, Ashrof berkata, pihak pendakwaan dan pembelaan perlu memfailkan hujahan masing-masing selewat-lewatnya 4 Jan depan.
Prosiding pengurusan kes dalam talian itu dihadiri peguam yang mewakili Najib, iaitu Muhammad Shafee Abdullah, Farhan, Syafiqah Sofian dan Wan Arfan Wan Othman, manakala TPR V Sithambaram dan Ashrof hadir bagi pihak pendakwaan.
Bekas perdana menteri berusia 69 tahun itu kini menjalani hukuman penjara 12 tahun di Penjara Kajang, selepas gagal dalam rayuan terakhirnya di Mahkamah Persekutuan untuk mengetepikan sabitan, hukuman dan denda RM210 juta pada 23 Ogos lepas.
Najib, melalui Tetuan Shafee & Co memfailkan permohonannya pada 6 Sept lepas, memohon supaya keputusan Mahkamah Persekutuan itu yang mengesahkan sabitan, hukuman dan denda disemak semula.
Najib memohon mahkamah menyemak keputusan Mahkamah Persekutuan pada 16 Ogos lalu yang menolak permohonannya untuk mengemukakan bukti berkaitan Nazlan Ghazali, hakim perbicaraan dalam kes membabitkan dana SRC International yang dihadapinya.
Pada 28 Julai 2020, Nazlan mendapati Najib bersalah atas tujuh pertuduhan – tiga pertuduhan pecah amanah, tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan salah guna kuasa.
Nazlan yang kini menjadi hakim Mahkamah Rayuan, menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta atau penjara lima tahun penjara terhadap Najib dan keputusannya dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan pada 8 Dis 2021.
Najib memohon rayuannya didengar semula oleh panel baharu hakim Mahkamah Persekutuan yang terdiri daripada sekurang-kurangnya tujuh hakim dan beliau diberikan penangguhan pelaksanaan hukuman penjara sementara menunggu pendengaran permohonan semakan itu.
Pihak pendakwaan, dalam afidavit jawapan yang difailkan melalui Ashrof, menyatakan permohonan semakan Najib itu tidak mempunyai merit dan merupakan penyalahgunaan proses mahkamah.
Dalam afidavit itu, Ashrof berkata, Najib telah diberikan perbicaraan adil dalam rayuannya di Mahkamah Persekutuan.